Isnin, 16 Disember 2019 | 12:03am
ANGGOTA Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Segamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat menyelamatkan pesakit kronik wanita, di Jalan Kolam Air, Segamat. NSTP/Ahmad Ismail
ANGGOTA Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Segamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat menyelamatkan pesakit kronik wanita, di Jalan Kolam Air, Segamat. NSTP/Ahmad Ismail

Bah di Johor kian meruncing, hampir 10,000 mangsa di PPS

JOHOR BAHRU: Banjir di Johor terus meruncing apabila jumlah mangsa di sembilan daerah terjejas melonjak kepada 9,403 orang dengan 83 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, setakat 9.30 malam ini.

Hujan lebat memasuki hari ketiga berturut-turut dengan paras sungai utama di seluruh negeri sesetengahnya dilaporkan meningkat ke paras bahaya dan berjaga-jaga.

Satu-satunya daerah yang belum terjejas banjir iaitu Tangkak, dijangka turut dilanda bencana itu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dalam kenyataan berkata, PPS yang dibuka di negeri ini meningkat kepada 83 dengan daerah paling terjejas adalah Kluang dengan 28 PPS diikuti Segamat (19), Kota Tinggi (17), Mersing (10), Johor Bahru (tiga), Kulai (dua), Batu Pahat (dua) dengan Pontian dan Muar masing-masing membuka sebuah PPS.

Mangsa banjir di Kluang meningkat secara mendadak kepada 2,611 orang daripada 733 keluarga berbanding 1,309 orang daripada 403 keluarga, petang tadi.

Antara 21 PPS di Kluang membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Meng 37, Kampung Parit Hasan (13), Balai Raya Kampung Contoh, Kahang (215), Balai Raya Kampung Bentong Dalam (66), Balai Aktiviti Kampung Melayu Mardi (82), SMK Sri Perdana Jalan Niyor (144).

Turut terbabit, Balai Raya Kampung Muhibbah, Paloh (31), Balai Raya Kampung Chokro (93), Sekolah Agama Kampung Tengah (tiga), Dewan Kolam Air (63), Balai Raya Parit Haji Hashim (37) dan Balai Raya Kampung SC Jaya Sepakat (enam).

Turut terjejas di Kluang, SK Sri Lukut Batu 28 (50), Sekolah Agama Layang-Layang (tiga), SK Simpang Renggam (60), SK Sri Kencana (162), SK Sri Maju Jaya (2), SJKC Layang Layang 2 (31), Balai Raya Paya Palembang (56) dan SK Sungai Linau (132).

Segamat meningkat mendadak kepada 1,578 orang daripada 419 mangsa yang ditempatkan di 19 PPS.

Antara tujuh PPS di Segamat iaitu SRJKC Ai Chun (134), Dewan Serbaguna Kampung Pekan Air Panas (40), Balai Raya Kampung Usaha Jaya (58) dan Balai Raya Kampung Bukit Tunggal (3) dan Balai Raya Kampung Orang Asli Segamat Kecil (98), Sekolah Agama Mukim Jabi (9) dan Sekolah Agama Kampung Jawa (56).

Sebanyak 17 PPS pula dibuka di Kota Tinggi dengan mangsa melonjak kepada 2,552 orang daripada 664 keluarga membabitkan SK Sedili Kecil dengan jumlah mangsa teramai iaitu 153 orang, Dewan Kampung Baru Sungai Mas (34), SK Sedili Besar (30), Surau Kampung Singapura (35), SK Mawai (72) dan SK Gembut (136).

Dewan Raya Sri Mahkota menempatkan 163 mangsa, SK Teluk Ramunia (58), Balai Raya Kampung Sentosa (98), Balai Raya Kampung Perpat (39), SK Seri Setia Jaya (92), Balai Raya Kampung Sayang (25) dan SK Teluk Hutan Lesung (146).

Mangsa banjir di Mersing melonjak kepada 1,277 orang daripada 361 keluarga/

Sebanyak 10 PPS dibuka di Mersing pula adalah SK Tenglu dengan 232 mangsa, SK Mersing Kanan (43), SK Air Papan (154), SK Bandar Endau (98), PPK Endau (68) dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin (128).

Turut terjejas di Mersing dengan PPS SK Labong (171), SK Pusat Air Tawar (148), SK Terang (56) dan Sekolah Agama Pengkalan Batu (179).

Di Johor Bahru, mangsa banjir meningkat kepada 743 daripada 199 keluarga berbanding 550 mangsa banjir daripada 145 keluarga petang tadi yang ditempatkan di tiga PPS termasuk SK Batu 10 Skudai (488) dan Sekolah Agama Datuk Abdul Rahman Ahmad (62).

Di Kulai, seramai 113 mangsa banjir daripada 36 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Surau Sungai Siam, Layang-Layang (82) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Batu (7).

Di Batu Pahat, seramai 38 mangsa banjir daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Haji Kamsan (10) dan SK Agama Seri Chomel (28).

Di Pontian, seramai 116 mangsa  ditempatkan di PPS SK Melayu Raya manakala seramai 25 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di Bangunan GW Maokil.

Pegawai sekretariat dihubungi memaklumkan, tiga laluan utama di kawasan Kota Tinggi masih ditutup dengan empat laluan hanya boleh dilalui kenderaan berat manakala satu laluan terjejas tanah runtuh.

"Tiga laluan utama di Kota Tinggi yang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana banjir iaitu Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Kelompok dan Jalan Ladang Bukit Payung (Tenggaroh) di kawasan Kampung Tunjuk Laut selain Jalan Kampung Mawai Lama di Kampung Mawai Lama, berikutan paras air yang dalam dan deras.

"Empat lagi laluan terjejas banjir hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Mawai-Bukit Samsu,  Jalan Mawai-Sedili, Selekoh Batu 19 Jalan Utama dan Batu 17/ Batu 18 manakala Jalan Telok Arong terjejas tanah runtuh dengan hanya sehala laluan dibuka untuk kenderaan ringan,” katanya.

Berita Harian X