Ahad, 15 Disember 2019 | 9:08pm
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai membantu penduduk Kampung Laut Batu 10, Skudai, berpindah selepas banjir melanda kawasan berkenaan. NSTP/Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai membantu penduduk Kampung Laut Batu 10, Skudai, berpindah selepas banjir melanda kawasan berkenaan. NSTP/Ihsan JBPM

Banjir Johor: Bencana makin buruk, jumlah mangsa melonjak 5,592

JOHOR BAHRU: Banjir di Johor semakin membimbangkan apabila jumlah mangsa di sembilan daerah terjejas melonjak kepada 5,592 orang dengan 63 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 7 petang tadi.

Hujan lebat memasuki hari ketiga dengan paras sesetengah sungai utama di seluruh negeri dilaporkan meningkat ke paras bahaya dan berjaga-jaga.

Satu-satunya daerah yang masih belum terjejas banjir adalah Tangkak, namun dijangka turut mengalami nasib sama.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dalam kenyataannya, memaklumkan PPS yang dibuka juga meningkat kepada 63 dengan daerah paling terjejas adalah Kluang.

Mangsa banjir di daerah paling terjejas itu turut meningkat secara mendadak kepada 1,309 orang daripada 403 keluarga berbanding 1,053 orang daripada 309 keluarga, pagi tadi.

Sebanyak 21 PPS dibuka di Kluang, dikuti Kota Tinggi (13), Mersing (10), Segamat (11), Kulai (2), Batu Pahat (2), Johor Bahru (2) dan Muar serta Pontian, masing-masing 1 PPS.

PPS di Kluang dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Meng yang menempatkan 37 mangsa, Kampung Parit Hasan (13), Balai Raya Kampung Contoh di Kahang (215), Balai Raya Kampung Bentong Dalam (66), Balai Aktiviti Kampung Melayu Mardi (82), SMK Sri Perdana Jalan Niyor (144).

Selain itu, Balai Raya Kampung Muhibbah di Paloh (31), Balai Raya Kampung Chokro (93), Sekolah Agama Kampung Tengah (3), Dewan Kolam Air (63), Balai Raya Parit Haji Hashim (37) dan Balai Raya Kampung SC Jaya Sepakat (6).

PPS SK Sri Lukut Batu 28 (50), Sekolah Agama Layang-Layang (3), SK Simpang Renggam (60), SK Sri Kencana (162), SK Sri Maju Jaya (2), SJKC Layang Layang 2 (31), Balai Raya Paya Palembang (56) dan SK Sungai Linau (132).

Sebanyak 13 PPS dibuka di Kota Tinggi menempatkan 1,081 mangsa daripada 271 keluarga berbanding hanya 1,071 mangsa daripada 267 keluarga pagi tadi.

SK Sedili Kecil menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 153 orang, Dewan Kampung Baru Sungai Mas (34), SK Sedili Besar (30), Surau Kampung Singapura (35), SK Mawai (72) dan SK Gembut (136).

Selain itu, Dewan Raya Sri Mahkota (163), SK Teluk Ramunia (58), Balai Raya Kampung Sentosa (98), Balai Raya Kampung Perpat (39), SK Seri Setia Jaya (92), Balai Raya Kampung Sayang (25) dan SK Teluk Hutan Lesung (146).

Mangsa banjir di Mersing juga melonjak kepada 1,277 orang daripada 361 keluarga berbanding 1,262 orang daripada 352 keluarga, pagi tadi.

Sepuluh PPS yang dibuka di Mersing adalah SK Tenglu dengan 232 mangsa banjir, SK Mersing Kanan (43), SK Air Papan (154), SK Bandar Endau (98), PPK Endau (68) dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin (128).

Selain itu, SK Labong (171), SK Pusat Air Tawar (148), SK Terang (56) dan Sekolah Agama Pengkalan Batu (179).

Jumlah mangsa di Segamat meningkat kepada 398 orang daripada 107 keluarga berbanding 342 mangsa daripada 91 keluarga, pagi tadi.

Tujuh PPS dibuka, iaitu SRJKC Ai Chun menempatkan 134 mangsa, Dewan Serbaguna Kampung Pekan Air Panas (40), Balai Raya Kampung Usaha Jaya (58), Balai Raya Kampung Bukit Tunggal (3), Balai Raya Kampung Orang Asli Segamat Kecil (98), Sekolah Agama Mukim Jabi (9) dan Sekolah Agama Kampung Jawa (56).

Di Kulai pula, seramai 89 mangsa banjir daripada 29 keluarga ditempatkan di dua PPS, iaitu 82 dipindahkan ke Surau Sungai Siam di Layang-Layang dan tujuh lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Batu.

Di Batu Pahat, seramai 38 mangsa banjir daripada lapan keluarga dipindahkan dengan 10 ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Haji Kamsan dan 28 lagi di SK Agama Seri Chomel (28).

Di Johor Bahru, 550 mangsa banjir daripada 145 keluarga ditempatkan di dua PPS, iaitu 488 orang di SK Batu 10 Skudai dan 62 lagi di Sekolah Agama Datuk Abdul Rahman Ahmad, manakala di Pontian, seramai 109 mangsa ditempatkan di PPS SK Melayu Raya.

Tiga laluan utama di kawasan Kota Tinggi masih ditutup dengan empat laluan hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Berita Harian X