Ahad, 15 Disember 2019 | 7:56pm
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai membantu penduduk Kampung Laut Batu 10, Skudai, berpindah selepas banjir melanda kawasan berkenaan. NSTP/Ihsan JBPM

9 laluan utama di Kota Tinggi-Mersing ditutup

JOHOR BAHRU: Sembilan laluan utama di Kota Tinggi, ditutup sementara mulai hari ini berikutan ditenggelami air banjir dan tidak selamat digunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, berkata sembilan laluan itu membabitkan lapan Jalan Persekutuan dan satu jalan negeri.

“Ia membabitkan Jalan Kota Tinggi-Mersing yang ditenggelami air 1.1 meter, Jalan Kota Tinggi-Mersing (Sungai Ara), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Kubu) yang ditenggelami banjir 1.5 meter dan Jalan Kota Tinggi-Mersing (Ladang Risda) yang ditenggelami bah 1.7 meter.

“Turut ditutup adalah Jalan Kota Tinggi-Mersing (Simpang Kampung Tunjuk Laut) ditenggelami banjir 0.30 meter, Jalan Kota Tinggi-Mersing (R&R Panti) ditenggelami banjir 1.2 meter, Jalan Kota Tinggi-Mersing (Ladang P Melayu) terjejas banjir 1.0 meter dan Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas (Sungai Semalok) ditenggelami banjir 1.5 meter,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Solihan berkata, jalan negeri yang ditutup pula adalah Jalan Mawai Lama yang ditenggelami banjir antara 0.30 hingga 0.60 meter.

Berita Harian X