Ahad, 15 Disember 2019 | 6:06pm
TIMBALAN Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Abdul Aziz Kaprawi pada sesi temuramah eksklusif mengenai pembangunan dan melestarikan Sri Gading di Batu Pahat Mall. NSTP/Adi Safri
TIMBALAN Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Abdul Aziz Kaprawi pada sesi temuramah eksklusif mengenai pembangunan dan melestarikan Sri Gading di Batu Pahat Mall. NSTP/Adi Safri

MCPF wujud Jawatankuasa Keselamatan Siber

MUAR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) sudah mewujudkan Jawatankuasa Keselamatan Siber yang dipimpin pakar dalam bidang teknologi maklumat (ICT) dan internet.

Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan sejak kira-kira empat bulan lalu akan bekerjasama dengan polis terutama berkaitan jenayah siber dan pendidikan kesedaran.

“Ini penting kerana orang ramai perlu terus diberi pendidikan dan kesedaran, seterusnya mengelak mereka menjadi mangsa jenayah siber.

“Jawatankuasa ini akan memberi maklumat terus kepada Pengerusi MCPF yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Kita berharap ia akan dapat membantu mengelak lebih ramai menjadi mangsa jenayah siber ini kelak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bersama Memerangi Jenayah Siber: Apa Peranan Anda di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din.

Lam Thye berkata, selain itu, MCPF juga mengeluarkan satu buku panduan bertajuk Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai ancaman jenayah siber.

“Kes jenayah siber semakin serius. Jadi kami di MCPF keluarkan buku berkenaan untuk membantu orang ramai dalam aspek pendidikan, kesedaran dan meminta mereka berhati-hati menerima sebarang panggilan meragukan.

“Ini kerana sindiket terbabit berlagak sebagai pegawai polis, bank dan sebagainya. Kita mahu memberi mesej supaya mereka dapat mengelak daripada menjadi mangsa jenayah siber ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 6,000 kelab pencegahan jenayah sudah diwujudkan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

“Kini menumpukan untuk mewujudkan kelab sama di seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) kerana jumlahnya pada masa ini masih kecil.

“Mungkin pada awal 2020, kita dapat laksanakan di seluruh IPT supaya pelajar juga mendapat manfaat, kesedaran dan mengelak menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.

Ditanya sama ada MCPF akan berkolaborasi dengan pakar siber untuk mewujudkan aplikasi bagi mengesan identiti nombor telefon, Lam Thye berkata, idea dan cadangan ini boleh dibincangkan dalam Jawatankuasa Keselamatan Siber kelak.

Katanya, jika MCPF dan jawatankuasa berkenaan mendapati ia boleh dilaksanakan, pihaknya akan menyediakan aplikasi terbabit kelak.

Berita Harian X