Sabtu, 14 Disember 2019 | 8:55pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Lepaskan jawatan selepas masalah lama selesai - PM

DOHA: Tun Dr Mahathir Mohamad akan melepaskan jawatan perdana menteri selepas menyelesaikan masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Saya sudah berjanji akan meletak jawatan selepas menyelesaikan masalah utama yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Saya akan melepaskan jawatan dan memberikannya kepada calon yang dinamakan oleh gabungan (Pakatan Harapan),” katanya pada Forum Doha 2019 di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya oleh wartawan agensi berita antarabangsa, Al Jazeera, sama ada akan berundur pada 2020.

Ditanya sama ada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah calon terbaik, Dr Mahathir mengakui mempunyai pengalaman buruk dalam menamakan pengganti sebaik melepaskan jawatan.

“Saya menamakan pengganti sebelum ini tetapi beliau gagal melaksanakan tugas dengan baik,” katanya,

Dr Mahathir berkata, kerajaan terdahulu meninggalkan masalah yang amat besar dan tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat.

Katanya, kerajaan diberi mandat lima tahun bagi mencapai objektif diperlukan dan banyak yang berjaya dilakukan dalam masa setahun setengah pemerintahan.

“Kewangan negara juga semakin baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Berita Harian X