Sabtu, 14 Disember 2019 | 7:52pm
Penduduk kampung berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air di Kampung Melayu Mardi, Kluang. - NSTP/Adnan Ibrahim
Penduduk kampung berpindah selepas kediaman mereka dinaiki air di Kampung Melayu Mardi, Kluang. - NSTP/Adnan Ibrahim

Banjir kian buruk di Johor, mangsa melonjak 3,319 orang

JOHOR BAHRU: Mangsa terkini banjir di Johor meningkat kepada 3,319 orang dengan pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah menjadi 49 setakat jam 11 malam ini.

Keadaan itu adalah susulan hujan tanpa henti lebih 24 jam sejak tengah hari kelmarin, yang menjejaskan enam daerah.

Tujuh lagi PPS dibuka menjadikan jumlahnya meningkat kepada 49 dengan daerah paling terjejas adalah Kluang dengan 21 PPS, diikuti Kota Tinggi (12), Mersing (10), Segamat (empat) manakala Muar dan Kulai pula masing-masing membuka sebuah PPS.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir ketika meninjau PPS di SK Seri Kencana, Simpang Renggam. - NSTP/Adnan Ibrahim
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir ketika meninjau PPS di SK Seri Kencana, Simpang Renggam. - NSTP/Adnan Ibrahim

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dalam kenyataannya, berkata mangsa banjir di Kluang meningkat secara mendadak kepada 679 orang daripada 187 keluarga berbanding hanya 219 mangsa daripada 61 keluarga, jam 3 petang tadi.

Sebanyak 18 PPS di Kluang membabitkan Sekolah Kebangsaan Sri Kencana menempatkan 148 mangsa, Balai Aktiviti Kampung Melayu Mardi (81), Balai Raya Kampung Contoh, Kahang (70), Balai Raya Kampung Muhibbah, Paloh (45), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Meng (37) dan SK Kahang Batu 28 (37).

Turut terbabit, SK Simpang Renggam (55), Balai Raya Kampung Chokro (74), Dewan Kolam Air (30), Balai Raya Parit Haji Hashim (27), SK Sri Lukut (26) dan SMK Sri Perdana Jalan Niyor (18).

Pasangan pengantin, Izat Samsudin dan Siti Zaleha Satiman ketika disandingkan tanpa pelamin di kediaman keluarga yang dinaiki air banjir di Kampung Chokro, Simpang Renggam. - NSTP/Adnan Ibrahim
Pasangan pengantin, Izat Samsudin dan Siti Zaleha Satiman ketika disandingkan tanpa pelamin di kediaman keluarga yang dinaiki air banjir di Kampung Chokro, Simpang Renggam. - NSTP/Adnan Ibrahim

Selain itu, Balai Raya Kampung Bentong Dalam (6) ,Kampung Parit Hasan (5), Sekolah Agama Kampung Tengah (4), Balai Raya Kampung Melayu Batu 4 Paloh (8), Balai Raya Kampung SC Jaya Sepakat (6) dan Sekolah Agama Layang-Layang (2).

Sebanyak 12 PPS pula dibuka di Kota Tinggi membabitkan SK Sedili Kecil dengan jumlah mangsa teramai iaitu 153 orang, Dewan Raya Sri Mahkota (135), Balai Raya Kampung Sentosa (90), SK Teluk Ramunia (58), SK Sedili Besar (29), Dewan Kampung Baru Sungai Mas (30), SK Mawai (23), SK Gembut (118), Surau Kampung Singapura (7).

Turut terjejas di Kota Tinggi adalah SK Seri Setia Jaya (85), Balai Raya Kampung Perpat (39) dan Balai Raya Kampung (23).

Mangsa banjir di Mersing pula melonjak kepada 939 orang daripada 247 keluarga berbanding hanya 388 penduduk daripada 101 keluarga jam 3 petang tadi.

Lapan PPS yang dibuka di Mersing pula adalah SK Tenglu dengan mangsa banjir seramai 223 orang, SK Mersing Kanan (32), SK Air Papan (186),SK Bandar Endau (69), PPK Endau (80) dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin (88).

Turut terjejas di Mersing adalah SK Labong (162) dan SK Pusat Air Tawar (99).

Segamat pula seramai 166 mangsa banjir daripada 45 keluarga membabitkan dua PPS iaitu SRJKC Ai Chun (134) dan Dewan Serbaguna Kampung Pekan Air Panas (32).

Di Muar pula sebanyak lima mangsa banjir ditempatkan di Bangunan GPW Maokil manakala seramai 41 mangsa banjir daerah Kulai ditempatkan di PPS Surau Sungai Siam, Layang-Layang.

Pegawai sekretariat dihubungi memaklumkan paras sungai utama di Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Segamat, Muar dan Batu Pahat juga kini pada paras berjaga-jaga dengan pemantauan berterusan dibuat.

"Empat laluan utama di Kota Tinggi juga ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana banjir iaitu Jalan Batu 18, Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Kelompok dan Jalan Ladang Bukit Payung (Tenggaroh) di kawasan Kampung Tunjuk Laut selain Jalan Kampung Mawai Lama di Kampung Mawai Lama, berikutan paras air yang dalam dan deras," katanya.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Segamat pula memaklumkan seramai 169 penduduk Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Selai, Bekok, terputus hubungan keluar masuk apabila jambatan menghubungi kampung berkenaan ditenggelami banjir sejak tengah hari tadi.

Berita Harian X