Sabtu, 14 Disember 2019 | 7:19pm
Dr Mahathir menerima Anugerah Forum Doha disampaikan Sheikh Tamim di Doha. - Foto BERNAMA

Malaysia tak sokong sekatan AS ke atas Iran - PM

DOHA: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran melanggar Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak menyokong sekatan sehala AS terhadap Iran.

“Malaysia dan negara lain kehilangan pasaran besar akibat sekatan terhadap Iran.

“Sekatan hanya boleh digunakan oleh PBB mengikut piagam,” katanya ketika berucap di Forum Doha 2019 yang diadakan di sini, hari ini.

Dr Mahathir sebelum itu menerima Anugerah Forum Doha yang disampaikan oleh Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.

Perdana Menteri adalah pemimpin pertama yang menerima anugerah daripada Forum Doha.

Bulan lalu, AS mengumumkan sekatan terhadap sektor pembinaan Iran dan perdagangan membabitkan empat bahan yang digunakan pihak tentera atau program nuklear negara itu.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, adalah penting bagi semua negara bekerjasama dan saling mempelajari mengenai isu yang boleh memberi kesan terhadap cara mereka berdepan cabaran dunia.

Berucap pada forum bertajuk ‘Reimagining Governance in a Multipolar World’ (Membayangkan Tadbir Urus Dalam Dunia Multipolar) dari perspektif Malaysia, Perdana Menteri berkata, tiada negara yang boleh hidup secara terasing.

Katanya, Malaysia tidak mencari sekutu, sebaliknya memerlukan rakan kongsi dan negara sahabat.

“Kita berada pada tahap yang mana negara perlu mempunyai hubungan merentasi spektrum luas.

“Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak hidup dalam dunia unipolar mahupun dunia bipolar.

“Kita hidup di dunia multipolar, tidak ada negara hegemonik tetapi hubungan saling berkaitan yang bergerak dalam pelbagai arah.

“Dalam erti kata lain, ia boleh digambarkan sebagai integrasi kepelbagaian dan kreativiti dalam kalangan budaya, negara dan ekonomi di dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata, semua negara perlu mengakui hakikat hidup secara ‘terasing’ adalah sesuatu yang mustahil, manakala kemajuan komunikasi menjadikan sempadan negara jiran boleh ditembusi.

Negara yang masih percaya pada hegemoni, tegas Perdana Meteri, sekadar mewujudkan perbalahan, ketegangan dan ketidakstabilan.

Justeru, katanya, dunia multipolar perlu digabung dengan integrasi yang lebih baik dalam kalangan negara rakan dan sahabat, di samping diplomasi berterusan pelbagai hala di arena global.

Dr Mahathir menegaskan keutamaan Malaysia ialah mencari rakan kongsi dalam kalangan negara tetangga.

“Dunia hari ini berdepan dengan peningkatan kebimbangan terhadap kemampanan pertumbuhan ekonomi global dalam menghadapi cabaran kewangan, politik, sosial dan alam sekitar yang semakin mencabar.

“Di Asia Tenggara, 10 negara memutuskan untuk bekerja sebagai kumpulan yang hebat dan hasilnya adalah kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Berita Harian X