Sabtu, 14 Disember 2019 | 6:16pm

Tindakan saman demi keselamatan - Loke

SEREMBAN: Tindakan saman kepada ibu bapa yang tidak memasang kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), akan dikuatkuasakan selepas tamat tempoh enam bulan pendidikan kesedaran penggunaan yang bermula pada 1 Januari 2020.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata tindakan itu perlu dilakukan supaya pengguna terutama ibu bapa sedar akan kepentingan penggunaan CRS untuk keselamatan kanak-kanak.

“Jika kita tidak kuatkuasakan undang-undang yang ada, pasti tidak akan berkesan. Jadi perlu ada titik permulaan penguatkuasaan iaitu selepas enam bulan pendidikan kesedaran tamat.

“Selepas tempoh itu jika masih ada yang tidak ikut undang-undang sudah pasti akan dikenakan tindakan saman. Jika tiada tindakan, tidak guna ada undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Klik Untuk Keselamatan Komuniti di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS Sdn Bhd, Datuk Azman Ismail dan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye.

Mengulas lanjut, Loke berkata, tindakan saman perlu dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan menggunakan CRS untuk keselamatan.

“Kita bukan ambil pendekatan yang keras, bukan mula 1 Januari 2020 kita saman, kita tidak buat seperti itu. Cuma kita mahu masyarakat faham mengenai kepentingan CRS.

“Kempen dan peraturan yang dibuat ini untuk keselamatan dan demi melindungi nyawa anak mereka sendiri. Jadi ibu bapa perlu faham dan walaupun sedikit membebankan, tetapi ia untuk melindungi nyawa,” katanya.

Justeru Loke berkata, ketika ini pihaknya dari semasa ke semasa sedang berusaha untuk mengurangkan kos CRS bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat yang boleh menjadi penaja CRS untuk diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Kita tidak dapat bagi bantuan kepada semua, sebab terlalu ramai kanak-kanak di Malaysia ini jadi kita cuba usahakan sediakan subsidi kepada hanya mereka yang memerlukan sahaja,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, IKATAN akan menggunakan tempoh enam bulan pertama penggunaan CRS untuk memberi kesedaran menerusi pelaksanaan pelbagai program komuniti.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan, PLUS dan NGO untuk menguar-uarkan mengenai kepentingan CRS terutama dari aspek keselamatan.

“Kesedaran keselamatan perlu dipupuk supaya masyarakat menerap dan mengutamakan keselamatan sebagai cara hidup serta dijadikan budaya di negara ini,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (empat dari kanan) ketika melakukan gimik Perasmian Klik Untuk Keselamatan Komuniti di Palm Mall. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (empat dari kanan) ketika melakukan gimik Perasmian Klik Untuk Keselamatan Komuniti di Palm Mall. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin
Berita Harian X