Sabtu, 14 Disember 2019 | 9:30am
Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pagoh, di Muar semalam. - Foto BERNAMA

Perjumpaan bekas ahli PKM: 6 pertubuhan haram terbabit

MUAR: Enam daripada sembilan pertubuhan yang menyertai majlis peringatan Perjanjian Damai Hatyai yang dikaitkan dengan Chin Peng atau Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang, Selangor pada 1 Disember lalu, disahkan organisasi haram.

Antara pertubuhan yang menghadiri majlis itu ialah Persatuan Persahabatan Abad ke-21, Persatuan Kawan Karib Sarawak, Persatuan Persahabatan Phoenix Malaysia, Persatuan Persahabatan Berpanjangan Malaysia serta Persatuan Pendidikan dan Budaya Tionghua Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketika mengumumkan perkembangan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan laporan diterima daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), hanya tiga pertubuhan yang menyertai perhimpunan di Kajang itu berdaftar dengan jabatan terbabit.

“Yang paling penting kita hendak ambil kira ialah kenapa mereka terbabit dalam aktiviti dikatakan ada kaitan dengan Chin Peng atau komunis? Adakah ia usaha hendak menunjukkan minat untuk membawa semula ideologi lama (komunis).

“Polis dan perisikan kita sedang mengkaji serta meneliti dengan lebih mendalam lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pagoh, di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Pagoh berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana PKM sudah lama diharamkan dan tidak harus diwujudkan semula di Malaysia yang mengamal sistem demokrasi berparlimen sejak 60 tahun lalu.

“Sistem itu berjalan baik dan negara dalam keadaan aman. Kalau ada langkah agak terpesong sedikit daripada sasaran, kita tidak boleh pandang ringan.

“Kalau ada kegiatan seumpama ini, kita akan pantau,” katanya yang bersetuju nama pertubuhan terbabit dalam majlis berkenaan diumumkan bagi mengelak masyarakat menyertainya.

“Sepatutnya begitu (umum nama pertubuhan terbabit), mungkin pihak berkenaan tidak sedar mereka terbabit dalam kegiatan sebegitu.

“Kalau mereka dari pertubuhan tidak berdaftar, mereka tidak boleh menjalankan apa-apa kegiatan pun, itu melanggar undang-undang negara dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Di Kuala Lumpur, ROS menerusi satu kenyataan semalam, memaklumkan jabatan itu yang menerima maklumat daripada polis, sudah mengeluarkan notis kepada tiga pertubuhan haram berkenaan untuk hadir memberi keterangan berkaitan pembabitan mereka dalam program terbabit.

“ROS mengenal pasti hanya tiga pertubuhan berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), enam lagi disifatkan ‘pertubuhan yang menyalahi undang-undang’ mengikut Seksyen 41(1)(b) dan Seksyen 43 akta sama.

“Ia bermakna mana-mana orang yang didapati menjadi anggota sesuatu pertubuhan menyalahi undang-undang adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara,” kata jabatan itu yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap mana-mana pertubuhan melanggar akta terbabit.

Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis sudah mengenal pasti sembilan persatuan terbabit dalam perhimpunan itu bersama empat individu yang menyampaikan ucapan.

Sehubungan itu, katanya, polis akan mendapatkan laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta ROS bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penganjuran majlis berkenaan terdedah selepas sebuah portal berita pada 1 Disember lalu melaporkan kira-kira 300 individu menghadiri perhimpunan di sebuah kolej swasta di Kajang yang dikatakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Berita Harian X