Jumaat, 13 Disember 2019 | 11:48pm
Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Haniff Khatri tak perlu lepas jawatan Pengerusi PERDA - Rina

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hanya kerana menjadi peguam kepada bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mohd Rina Mohd Harun, menegaskan kedudukan Mohamed Haniff Khatri sebagai pengerusi agensi di bawah kementeriannya itu tidak terjejas kerana beliau berhak untuk terus berkhidmat sebagai peguam.

“Sebagai Pengerusi PERDA, beliau tidak dihalang menjalankan tugas hakikinya sebagai peguam.

“Beliau memang peguam. Asalkan dia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab (sebagai Pengerusi PERDA) dengan baik, kedudukan tidak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Media Kementerian Pembangunan Luar Bandar di sini, hari ini.

Rina mengulas desakan Setiausaha Pro 98 Reformis Pulau Pinang, Amir Ghazali, yang memberi kata dua kepada Mohamed Haniff supaya melepaskan jawatan Pengerusi PERDA jika mahu terus mewakili Muhammed Yusoff yang mendakwa menjadi mangsa perlakuan tidak senonoh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amir dilaporkan berkata, peguam itu sepatutnya memberi perhatian kepada tugas menguruskan PERDA dan bukannya terbabit dalam permainan politik dengan menjadi peguam kepada Muhammed Yusoff.

Minggu lalu, Muhammed Yusoff yang membuat akuan bersumpah berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR itu, membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini.

Laporan itu bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpah yang dibuatnya itu.

Khamis minggu lalu, Anwar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhammed Yusoff yang kononnya diperlakukan secara tidak senonoh oleh beliau pada 2 Oktober tahun lalu dan menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.

Berita Harian X