Jumaat, 13 Disember 2019 | 2:54pm
NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin. - Foto BERNAMA

Isu dalaman PKR, Zuraida senada dengan Anwar

KUANTAN: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyelar pihak tidak ada saluran terus dengan parti, tetapi bertindak mengeluarkan kenyataan mengenai isu dalaman parti.

Beliau yang bersetuju dengan nasihat Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ahli menghentikan sebarang kenyataan mengenai isu dalaman parti, meminta semua pihak memberi ruang dan masa kepada Anwar untuk bertenang.

“Saya setuju dengan Presiden dan seperti yang saya katakan sebelum ini, Presiden perlukan masa untuk bertenang.

“Tak perlu pihak yang tidak ada ‘direct access’ pembabitan dengan parti membuat komen dan dibuat (komen) yang ada kepentingan sendiri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan projek rumah mampu milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Taman Seri Mahkota Aman 2, di sini, hari ini.

Semalam, Anwar meminta kepemimpinan dan ahli parti itu menghentikan serta-merta sebarang kenyataan terbuka yang berkait dengan perbalahan dalaman parti.

Sebaliknya, beliau menggesa semua pimpinan dan ahli parti mengemukakan pandangan dan bantahan menerusi saluran parti, khususnya kepada Lembaga Disiplin.

Menyentuh desakan Otai Reformis 98 yang mahukan PKR memecat enam anggota kanan parti itu termasuk dirinya, Zuraida tidak menolak akan bersuara dalam saluran itu apabila dipanggil.

“Saya tunggu mereka panggil saya,” katanya ringkas sebelum meninggalkan sidang media.

Sebelum itu, Zuraida berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Pakatan Harapan (PH) apabila dikatakan memperoleh 41 peratus sokongan dan pandangan rakyat terhadap parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Keputusan itu berdasarkan penyelidikan Indeks Kebimbangan Negara (NWI) yang dikeluarkan November lalu oleh badan pemikir, EMIR Research, semalam.

“Ini (keputusan) bagus kerana PH mendahului PAS dan UMNO. Sebelum ini kita dengar sokongan PH menurun dan ini (keputusan) satu berita sokongan kepada kerajaan,” katanya.

Berita Harian X