Jumaat, 13 Disember 2019 | 12:39pm
Pelajar UMT, Mohd Nur Aiman Suhami menyelamatkan ikan lumba-lumba yang terdampar di Pantai Tanjong Gelam, Kuala Nerus. - Ihsan UMT

Ikan lumba-lumba dipercayai terpisah dari kumpulan

KUALA TERENGGANU: Ikan lumba-lumba yang dijumpai terdampar di Pantai Tanjong Gelam, Kuala Nerus berjaya diselamatkan oleh sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dipercayai terpisah daripada kumpulannya kerana di bawa arus dan ombak kuat ke kawasan pantai.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Bahagian Penyelidikan Penyu & Spesis Marin Terancam, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad, berkata spesis lumba-lumba muncung panjang atau nama saintifiknya, Stenella longirostris itu adalah lumba-lumba kecil yang populasinya banyak terdapat di perairan tropika di luar pantai di seluruh dunia.

“Ia terkenal dengan paparan akrobatiknya yang mana gemar berputar dan melonjak ke udara sepanjang perjalanan. Ia adalah ahli keluarga Delphinidae daripada lumba-lumba jenis bergigi.

“Apa yang berlaku kepada anak lumba-lumba muncung panjang itu adalah ia terpisah dari kumpulannya kerana arus dan ombak kuat musim tengkujuh ketika ini,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Tamimi berkata, tindakan pelajar dan penduduk kampung yang berusaha menyelamatkan ikan lumba-lumba terdampar terbabit wajar dipuji dan mengikut cara yang hampir betul.

Katanya, sekiranya mengikut cara yang betul secara tidak langsung dapat memberi maklumat, pengetahuan dan ilmu yang jelas kepada orang ramai.

“Perkara pertama sekiranya terdapat kedamparan spesies marin terancam ini adalah menghubungi pegawai perikanan di Pejabat Perikanan Daerah terdekat.

“Pastikan haiwan yang diselamatkan berada dalam keadaan selamat seperti mempunyai teduhan dan membuat kolam cetek dengan air laut. Kendalikan dengan berhemah dan lembut serta memberi bantuan kelembapan dan pernafasan yang baik kepada ikan lumba-lumba kerana lubang pernafasan tidak boleh ditutup dengan air.

“Apabila keadaan ikan lumba-lumba stabil barulah ia boleh dilepaskan perlahan-lahan ke laut dengan menunggu dan memerhati tingkah-lakunya,” katanya.

Berita Harian X