Khamis, 12 Disember 2019 | 9:00pm
LAPORAN BH Selasa lalu.
LAPORAN BH Selasa lalu.

55 program kejuruteraan dimansuh sudah diteliti - JPT

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) yang memansuhkan 55 program kejuruteraan mereka sudah mengambil kira faktor kebolehpasaran graduan dan kesesuaian program untuk ditawarkan.

Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan) Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) menjelaskan, keputusan IPT dalam menggugurkan program terbabit sejajar perkembangan semasa dan sudah diteliti secara mendalam.

Kenyataan itu menyebut, ia juga sebagai langkah proaktif mendepani keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta perubahan dalam trend pekerjaan hari ini.

“Semua IPT sudah melihat semula program akademik yang sedang ditawarkan ketika itu dan memastikan bahawa program akademik yang ditawarkan perlulah relevan, berkualiti, berdaya saing serta selaras dengan keperluan industri dan negara.

“Universiti Awam (UA) sendiri sudah melakukan semakan penawaran program akademik dan hasil daripada semakan itu, UA mengenal pasti program akademik yang tidak memenuhi kriteria seperti yang disebut,” katanya melalui hantaran e-mel kepada BH, hari ini.

Selasa lalu, BH melaporkan Majlis Akreditasi Kejuruteraan dan Lembaga Jurutera Malaysia mengesahkan sebanyak 55 program kejuruteraan yang ditawarkan oleh 12 IPT termasuk lima UA dimansuhkan kerana beberapa faktor seperti tiada permintaan dan kursus yang hampir sama.

Antara UA terbabit adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS).

Mengulas lanjut, JPT berkata program yang dijumudkan, dibeku dan dilupus adalah bagi memberi laluan kepada program akademik yang menepati keperluan IR4.0, namun ada program yang masih relevan tetapi ia dijumudkan kerana tidak mendapat sambutan.

“Penjumudan merujuk kepada proses di mana program akademik yang masih mempunyai pelajar dalam pengajian tetapi tidak dibuka untuk penawaran baharu bagi sesi berikutnya bagi tujuan menambah baik program,” katanya.

Jelas JPT lagi, IPT juga akan bekerja rapat dengan Kementerian Sumber Manusia, JobStreet Malaysia, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan badan profesional lain dalam menentukan program akademik yang relevan dan selari dengan kehendak pasaran.

Berita Harian X