Khamis, 12 Disember 2019 | 6:18pm
KETUA Pegawai Elsekutif SIRIM QAS International Sdn Bhd, Mohd Azanuddin Salleh (kiri) menyerahkan Sijil MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Risiko kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dengan disaksikan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri, Tengku Azmi Tengku Jaafar (kanan) di majlis sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2019 di Kompleks Kota Darul Naim. - Foto NSTP/Zaman Huri Isa

Tiada keperluan pegawai SPRM di pejabat MB Kelantan - Mohd Amar

KOTA BHARU: Tiada keperluan bagi kerajaan Kelantan untuk menerima cadangan menempatkan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat Menteri Besar.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata ini berikutan kerajaan negeri sudah mempunyai Bahagian Integriti dan Tadbir Urus serta audit dalam dan Jabatan Audit Negara.

"Bagi kita tiada keperluan walaupun ada cadangan daripada SPRM supaya pejabat Menteri Besar ditempatkan seorang pegawai kanan agensi itu.

"Tambahan pula, kita sudah ada SPRM yang mana sudah cukup untuk memantau dan memastikan supaya pentadbiran serta pengurusan negeri berjalan mengikut undang-undang," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Integriti peringkat Kelantan, di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan SPRM bersedia menempatkan pegawai kanannya di pejabat Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri bagi memperkasa integriti serta membendung perkara berkaitan rasuah di peringkat kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, berkata usaha menempatkan pegawai kanan suruhanjaya itu di pejabat MB dan Ketua Menteri adalah inisiatif yang diperkenalkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Mohd Amar berkata, setakat rekod kerajaan negeri, pihaknya berjaya mencapai sifar rasuah di kalangan pentadbir awam Kelantan.

"Kejayaan itu adalah hasil kerajaan negeri dan semua pihak terutama SPRM yang sentiasa memberi pandangan dan nasihat kepada kita. Kita sentiasa merujuk supaya boleh bantu bagi membolehkan pentadbir awam bergerak seperti mana dikehendaki undang-undang.

"Semua pencapaian ini adalah hasil kita meletakkan dasar membangun bersama Islam apabila program dan aktiviti yang dijalankan dapat mencetuskan kesedaran di kalangan pentadbir awam. Mereka bukan saja bekerja tapi memenuhi tanggungjawab agama, katanya.

Berita Harian X