Selasa, 10 Disember 2019 | 1:07pm
BEKAS penyelidik di pejabat PKR, Muhammed Yusoff Rawther. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Yusoff Rawther, adik dan bapa ke Bukit Aman hari ini

KUALA LUMPUR: Bekas penyelidik di pejabat PKR, Muhammed Yusoff Rawther dipanggil kali kedua ke Bukit Aman hari ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Sumber berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) yang mengendalikan siasatan kes salah laku dipercayai membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut memanggil ahli keluarga Muhammed Yusoff.

“Setakat ini, selain Yusoff, polis turut memanggil adik dan bapanya bagi mendapatkan maklumat untuk membantu siasatan.

“Ini kerana selepas kejadian salah laku itu dilakukan, Muhammed Yusoff terus menceritakan mengenai kes itu kepada adik dan bapanya,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Difahamkan, bapa dan adik Yusoff datang dari Pulau Pinang ke Bukit Aman untuk membantu siasatan polis.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan pihaknya memanggil Muhammed Yusoff untuk kali kedua bagi melengkapkan siasatan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut butiran mengenai kehadiran bapa dan adik Yusoff sehingga siasatan selesai dijalankan.

Muhamed Yusoff dijangka hadir petang ini.

Semalam, dalam kehadiran pertamanya ke Bukit Aman, Muhammed Yusoff memberikan keterangan hampir tujuh jam kepada USJT.

Berita Harian X