Isnin, 9 Disember 2019 | 11:34pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd Datuk Syed Hussian Syed Junid (dua, kiri) bergambar dengan sebahagian pelakon alih suara filem animasi Ejen Ali The Movie ketika meluangkan masa menonton filem tersebut di GSC Pavillion. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir tonton Ejen Ali The Movie

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa hampir dua jam untuk menonton filem animasi Ejen Ali The Movie di sebuah pawagam di ibu negara, malam tadi.

Perdana Menteri menonton filem berkenaan sambil ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dan CEO WAU Animation, Usamah Zaid Yasin.

Ditemui selepas sesi tayangan khas itu, Dr Mahathir menyifatkan penghasilan Ejen Ali The Movie seiring dengan perkembangan teknologi dunia, selain menegaskan Malaysia boleh berbangga dengan filem animasi berkenaan.

“(Ejen Ali The Movie) Tak seperti di Malaysia, nampak setaraf dengan teknologi dunia dan boleh berbangga kerana kita boleh keluarkan filem animasi berteknologi tinggi.

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali diiringi Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Aljunid bergambar bersama pelatar suara Ejen Ali The Movie di Majlis Tayangan Istimewa Ejen Ali The Movie di GSC Pavilion Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

“Saya juga berpendapat ramai bakat tempatan cekap dalam menghasilkan animasi yang bermula dengan lukisan. Ini tidak begitu mudah tetapi saya nampak kini semuanya lengkap dan boleh dikatakan dalam kelas antarabangsa,” katanya di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Syed Hussin Al Junid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid serta CEO Interim The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkap Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial, Mustapha Kamil Mohd Janor.

Baru-baru ini, filem animasi selama 97 minit itu dilaporkan memungut RM13 juta selepas tujuh hari tayangan di 162 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ejen Ali The Movie turut mendominasi carta GSC Top 10 Movies selama empat hari berturut-turut, selain menjadi pilihan utama dalam kalangan penggemar filem.

Sebelum ini, Ejen Ali The Movie mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta, pada hari pertama tayangan, pada 28 November lalu.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mengisahkan Ali, budak berusia 12 tahun yang direkrut menjadi penyiasat di agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA).

Ali ditugaskan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik timbul apabila Ali mengetahui dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa iaitu Infinity Retinal Intelligence System (IRIS).

Gajet itu diubahsuai menjadi IRIS Neo, perkakasan yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen lain. Inovasi baharu itu dipersoalkan Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Pada saat itu, Ali didatangi individu misteri yang mendakwa tahu kisah silamnya. Jadi, bermulalah pengembaraan Ejen Ali demi membongkar kebenaran biarpun kesetiaannya terhadap MATA teruji.

Berita Harian X