Isnin, 9 Disember 2019 | 6:30pm
HAIRIL Yahri Yaacob berucap di Majlis Perasmian Informal Senior Official Meeting (ISOM) di Langkawi International Convention Centre. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
HAIRIL Yahri Yaacob berucap di Majlis Perasmian Informal Senior Official Meeting (ISOM) di Langkawi International Convention Centre. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

APEC perlu tingkat kemakmuran negara anggota

LANGKAWI: Negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) disaran mengimbangi antara aktiviti dagangan dan pelaburan kepada aspek sosial serta ekonomi secara inklusif dalam mencapai kemakmuran bersama.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob, berkata selepas 30 tahun Deklarasi Bogor, nilai dagangan serantau meningkat daripada AS$23.5 trilion (RM97.78 trilion) pada 1990 kepada AS$66.2 trilion (RM275.46 trilion) pada 2018, iaitu kenaikan purata 3.7 peratus setahun.

Jelasnya, walaupun pertambahan nilai dagangan membawa kepada peningkatan pendapatan, taraf kehidupan dan perhubungan dalam kalangan penduduk, ia turut memberi kesan kepada jurang pendapatan dan ekuiti sosial.

"APEC kini mempunyai kekayaan yang diperoleh hasil dagangan dan pelaburan serantau yang turut menyebabkan sebilangan besar masyarakat di negara anggota menjadi ketinggalan.

"Disebabkan itu, kita perlu menukar asas ekonomi bagi menyesuaikannya dalam keadaan semasa, dengan rakyat sebagai teras, dapat bersama meningkatkan taraf kehidupan tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.

"Inilah objektif falsafah kemakmuran bersama yang diperkenal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Sidang Kemuncak CEO APEC pada 2018 bagi memastikan pembangunan ekonomi yang adil dalam kalangan negara anggota," katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucaptama Pembukaan Simposium Bidang Keutamaan pada Mesyuarat Pegawai Kanan Tidak Rasmi (ISOM) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) 2020, Datuk Rohana Mahmood.

Mengulas lanjut, Hairil menjelaskan konsep kemakmuran bersama bukan sesuatu yang baharu bagi ekonomi negara anggota APEC.

"Setiap ekonomi sentiasa berusaha mengambil berat antara satu sama lain bagi memastikan dasar yang dibuat dapat memberi keselesaan kepada rakyat, manakala bidang perniagaan pula mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

"Kemampuan melaksanakan aspek ekonomi ini akan menjadi fokus perbincangan pada Persidangan APEC 2020 dan Malaysia akan berusaha mengoptimumkan pengurusan sumbernya bagi mengurangkan kesannya kepada persekitaran yang sentiasa berubah," katanya.

Menyentuh isu perubahan cuaca dan alam sekitar pula, Hairi berkata, timbul kesedaran dalam kalangan negara anggota kini bahawa masalah itu perlu diurus secara mampan.

"Seperti diketahui umum, generasi muda di seluruh dunia semakin sedar akan isu perubahan cuaca dan menuntut perubahan segera dilakukan terutamanya dalam menguruskan sumber yang menyebabkan gangguan kepada ekosistem.

"APEC selama ini tidak membincangkan masalah ini secara terbuka kerana menganggap ia bukan isu ekonomi, tetapi kita harus sedar terdapat kos secara tidak langsung dalam menguruskan alam sekitar yang memberi kesan kepada nilai ekonomi," katanya.

Berita Harian X