Isnin, 9 Disember 2019 | 6:21pm
WAN Rosdy Wan Ismail
WAN Rosdy Wan Ismail

Anggota ATM, PGA ditempatkan operasi penguatkuasaan di Cameron Highlands

Oleh Muhamad Fairoz Azizan

muhamadfairoz@bh.com.my

KUANTAN: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), akan ditempatkan sepanjang tempoh operasi penguatkuasaan dalam usaha menjaga kelestarian Cameron Highlands.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memaklumkan perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Parlimen, pagi tadi.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan menempatkan anggota terbabit yang bertujuan mengawal keselamatan, rondaan dan ‘show of presence’, sekali gus dapat menangani serta mengatasi isu berkaitan pencerobohan tanah secara haram.

“Bagi memudah cara penempatan anggota, kerajaan negeri sudah mengenal pasti kuarters kerajaan di Sungai Burung, Brinchang. Kos pembaikan dan penyediaan utiliti ditanggung oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM150,000 disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) bagi menampung keperluan makan dan minum serta bekalan minyak kenderaan anggota keselamatan berkenaan.

“Peruntukan itu adalah bagi tempoh antara Disember hingga Mac 2020. Mulai April 2020, peruntukan itu akan disediakan sendiri oleh ATM dan PGA,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Wan Rosdy menjelaskan, sebagai tambahan kepada peranan ATM dan PGA itu, kerajaan negeri meluluskan penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang menggabungkan agensi penguatkuasaan negeri untuk turut membantu.

“Seperti sedia maklum, operasi penguatkuasaan Fasa 2 Ops Lestari dijalankan pada April lalu di Sungai Ichat, tertangguh berikutan tindakan injunksi diambil oleh 28 pekebun kecil.

“Bagaimanapun, pada 30 September lalu, injunksi itu sudah ditarik balik yang membolehkan kerja penguatkuasaan dilaksanakan semula membabitkan kawasan seluas 97.12 hektar (240 ekar),” katanya.

Beliau berkata, operasi itu adalah kesinambungan kepada Fasa 1 Ops Lestari membabitkan kawasan seluas 24.28 hektar dari 25 Februari hingga 19 Mac lalu.

Katanya, bagi memastikan perancangan pembangunan yang mampan dan lestari di Cameron Highlands, sebuah perbadanan khusus diwujudkan yang dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH).

“Enakmen Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), 22 November lalu.

“Selain berperanan mempromosikan Cameron Highlands sebagai pusat perdagangan, pelaburan dan logistik serta destinasi pelancongan, PKCH memainkan peranan merangsang pembangunan sosioekonomi, infrastruktur, kediaman dan pertanian,” katanya.

Wan Rosdy berkata, PKCH dipengerusikan beliau dengan dibantu Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Timbalan Pengerusi, serta anggota perbadanan lain membabitkan lima wakil Kerajaan Pahang, tiga wakil Kerajaan Persekutuan dan dua wakil pakar atau profesional.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah mengambil beberapa keputusan penting berkaitan kawasan Cameron Highlands.

Antaranya, 78 hak milik tanah pertanian yang diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) akan diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang yang akan disewakan dalam tempoh ditetapkan kepada pekebun.

“Pekebun yang hendak menyewa tanah PSK ini mesti memiliki sijil MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) yang dikeluarkan Jabatan Pertanian sebelum kebenaran menyewa atau memperbaharuinya diberikan.

“Bagi menjamin pengurusan cerun yang lebih cekap, semua ‘sheltered farming’ (rumah plastik) yang didirikan pekebun perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

“Penggunaan jentera berat pula perlu mendapat permit daripada jawatankuasa teknikal yang diwakili PDTCH, MDCH, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan serta Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Berita Harian X