Sabtu, 7 Disember 2019 | 6:29pm

'Kami merayu mereka dikebumikan di Christchurch'

KOTA KINABALU: “Kami akan merayu agar mereka dikebumikan di sana,” kata Othman Abd Hamid, abang sulung Dr Rumihati yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand.

Othman berkata, ia dapat ‘memenuhi’ perancangan Rumihati yang ada menyatakan mereka mahu melawat masjid di Christchurch.

“Rumihati yang juga adik bongsu kami sebelum bertolak ke New Zealand, ada memaklumkan bahawa mereka mahu melawat masjid di Christchurch, yang menjadi sasaran pengganas pada Mac lalu,” katanya ketika dihubungi.

Othman yang juga pesara RTM berkata, sebab itu mereka bersetuju supaya dikebumikan di sana kerana mereka tidak sempat melawat kawasan itu.

Katanya, adiknya bersama keluarganya itu terbang ke New Zealand untuk bercuti pada 2 Disember lalu.

Berhubung tiga anak perempuan mangsa, Othman yang masih menunggu panggilan daripada polis New Zealand, berkata mereka sendiri tidak pasti dengan keadaan sebenar.

“Kami masih menunggu berita dari pihak di sana mengenai keadaan sebenar.

“Kami tidak pasti keadaan salah seorang anaknya dan masih menunggu kepastian. Kami pun bingung dan sekarang hanya menunggu untuk sampai ke Christchurch saja,” katanya.

Ketika dihubungi, Othman berkata, dia bersama beberapa ahli keluarga kini di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke New Zealand malam ini.

Terdahulu, dalam percutian ke New Zealand sejak 2 Disember lalu, Dr Rumihati, pakar perubatan di Klinik Kesihatan Putatan dan suaminya, Adanan @ Adnan Jeman, 49, dilaporkan meninggal dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand, semalam.

Sementara itu, Wisma Putra ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan kejadian itu dan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand sedang mendapatkan maklumat mangsa yang terbabit.

BERNAMA dipetik berkata, tiga rakyat Malaysia maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand, semalam.

Sementara itu, portal Polis New Zealand melaporkan tiga individu meninggal dunia akibat kemalangan yang membabitkan kereta dan trak pada jam 3.10 pagi, waktu tempatan.

Laporan itu menyatakan, seorang individu mengalami kecederaan kritikal manakala tiga yang lain mengalami kecederaan sederhana dan serius.

Berita Harian X