Sabtu, 7 Disember 2019 | 1:06pm

SPRM sedia tempatkan pegawai kanan di pejabat MB, Ketua Menteri

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menempatkan pegawai kanannya di pejabat Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri bagi memperkasa integriti serta membendung perkara berkaitan rasuah di peringkat kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, berkata usaha menempatkan pegawai kanan suruhanjaya itu di pejabat MB dan Ketua Menteri adalah inisiatif yang diperkenalkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

“Kita sudah berbincang dengan beberapa MB dan Ketua Menteri mengenai perkara ini.

“Di pihak SPRM, kita bersedia menempatkan pegawai yang bersesuaian tetapi bergantung kepada permohonan daripada pejabat MB dan Ketua Menteri.

“Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM (Latheefa) ada program di Kedah, iaitu Hari Anti-Rasuah peringkat negeri Kedah, jadi kebetulan berjumpa Menteri Besar (Datuk Seri Mukhriz Mahathir), dan Menteri Besar nyatakan hasrat untuk ditempatkan pegawai SPRM di pejabatnya.

“Sebelum ini pun ada beberapa negeri sudah memohon secara rasmi kepada SPRM, termasuk Johor dan Perak cuma daripada segi proses itu ada beberapa perkara perlu dibuat dan ia membabitkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Walkabout Perdana Hari Anti-Rasuah Antarabangsa (HARA) 2019 di Pasar Awam Presint 8, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Kedah menjadi negeri pertama yang bakal menempatkan seorang pegawai kanan SPRM di pejabat MB sebagai langkah bagi mencegah aktiviti rasuah serta meningkatkan integriti dalam kalangan

penjawat awam.

Dalam pada itu, Shamsun Baharin berkata, SPRM kini mempunyai 2,800 kakitangan di seluruh negara dan ia belum mencukupi untuk menampung keperluan tugas.

“Memang apa yang kita ada (kakitangan) tidak cukup, dan kerajaan sudah bersetuju setiap tahun akan diberi tambahan 100 anggota.

“Jika dilihat pada suatu ketika dulu pun, ketika kita cadangkan kepada kerajaan untuk berubah dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM, memang cadangan kakitangan itu pada akhirnya akan mencapai 5,000 orang.

“Tetapi buat masa ini jumlahnya adalah kira-kira 2,800 orang. Jadi kita amat mengharapkan supaya setiap tahun jumlah yang dipohon itu dapat diterima (masuk ke SPRM) ke arah memastikan segala fungsi di bawah akta itu dapat kita laksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Terdahulu, berhubung inisiatif meningkatkan kesedaran antirasuah dalam kalangan peniaga, peniaga kecil dan penjaja, katanya, ia amat penting kerana mulai 1 Jun tahun depan, Seksyen 17A yang baharu dalam Akta SPRM 2009 akan dikuatkuasakan.

“Peruntukan itu berkait liabiliti korporat yang mana golongan peniaga memang terkesan daripada segi pelaksanaannya nanti.

“Sebab itu kita ingin memberi kesedaran kepada peniaga supaya mereka bersedia pada Jun 2020 yang mana ia akan dikuatkuasakan dan mereka perlu mengetahui langkah pencegahan yang perlu diambil bagi memastikan tidak terbabit dalam kegiatan rasuah sekiranya berurusan dengan mana-mana pihak,” katanya.

KUALA LUMPUR 23 APRIL 2018. Timbalan Pesuruhanjaya SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berucap ketika program pelancaran Gerakan Wanita Anti Rasuah (G-WAR) Wilayah Persekutuan di Institut Latihan DBKL, Bandar Tun Razak. STR/HALIM SALLEH
KUALA LUMPUR 23 APRIL 2018. Timbalan Pesuruhanjaya SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berucap ketika program pelancaran Gerakan Wanita Anti Rasuah (G-WAR) Wilayah Persekutuan di Institut Latihan DBKL, Bandar Tun Razak. STR/HALIM SALLEH

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X