Khamis, 5 Disember 2019 | 10:41am
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. - Foto Saifullizan Tamadi
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. - Foto Saifullizan Tamadi

Pasaran halal Jepun potensi besar bagi Malaysia

KOBE (Jepun): Di sebalik kemajuan teknologinya, Jepun terus menjadi tarikan besar bagi pelancong asing berikutan negara itu menawarkan perjalanan untuk meneroka alam semulajadi dan sumber budayanya.

Malah, terdapat beberapa bandar raya yang penuh dengan keindahan semulajadi, dengan Gunung Fuji menjadi mercu tanda paling ikonik negara itu yang pasti menjadi pemandangan yang indah untuk dilihat.

Negara Matahari Terbit itu bersedia untuk menerima 40 juta pelancong asing untuk Sukan Olimpik Tokyo dan Paralimpik pada tahun depan.

Kemasukan ramai pelancong Islam pada Sukan Olimpik dari 24 Julai hingga 9 Ogos, 2020 dijangka menggalakkan pertumbuhan makanan dan produk yang mematuhi syariah dan halal, berpotensi menjadi pasaran yang besar kepada pengeluar produk halal Malaysia.

Keperluan ini dinyatakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dalam misi perdagangan dan pelaburan ke Kobe yang bermula pada 29 November lalu dan berakhir hari ini.

Dalam ucaptama beliau pada seminar mengenai Peluang Perniagaan di Malaysia, yang dianjurkan sempena misi itu, Darell berkata industri halal antara sektor paling penting bagi Malaysia untuk diteroka bersama Jepun.

“Dengan Sukan Olimpik Tokyo dan Paralimpik 2020, Malaysia mahu bekerjasama dengan Jepun dalam memberikan penyelesaian yang mampan dalam perkara berkaitan halal melalui pelbagai aspek seperti logistik, analisis data, runcit, pensijilan, pengedaran makanan dan pelancongan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata antara inisiatif yang diambil ialah Misi Pecutan Eksport ke Jepun dari 4 hingga 8 November oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi penggalakan perdagangannya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), yang disertai oleh 21 syarikat Malaysia.

“Misi itu antara inisiatif yang dirancang di bawah inisiatif Rantaian Nilai Halal Perdagangan Digital yang dilancarkan oleh MITI pada 15 Ogos lalu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa, pula berkata inisiatif Rantaian Nilai Perdagangan Halal Digital bertujuan memberikan penyelesaian yang mampan kepada syarikat Malaysia untuk mengeksport produk mereka ke Jepun.

“Inisiatif itu turut sejajar dengan sasaran Malaysia untuk menjadi Global Halal Economy Enabler bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Beliau berkata, Jepun sendiri menunjukkan minatnya untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan halal untuk memenuhi keperluan pelancong dan atlet Islam di Sukan Olimpik Tokyo.

“Terdapat potensi lebih 140 juta makanan diperlukan di Perkampungan Atlet Olimpik dan kira-kira 720 juta makanan halal akan disediakan pada acara itu,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan hubungan erat Malaysia dengan Jepun dan kredibiliti yang kukuh dalam produk dan perkhidmatan halal Malaysia dengan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Malaysia berada dalam kedudukan yang kuat untuk menjadi penyedia utama kepada produk halal pada Sukan Olimpik Tokyo.

Selain menerangkan mengenai industri halal, Darell turut mengambil peluang semasa misi perdagangan dan pelaburan itu untuk menggesa pelabur dari Jepun memanfaatkan galakan Malaysia kepada transformasi digital.

Beliau berkata, dengan pelbagai inisiatif yang diambil dan insentif yang ditawarkan, Malaysia adalah destinasi menarik kepada pelabur Jepun untuk mengembangkan pelaburan mereka, sama ada mewujudkan secara langsung entiti perniagaan di negara ini atau melalui kerjasama dengan syarikat tempatan.

Menteri itu menegaskan pelabur Jepun juga boleh menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk mereka ke pasaran ASEAN.

“Dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan lebih 5.5 peratus, ASEAN terus menjadi antara rantau paling dinamik di dunia dan dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2050,” katanya.

Beliau berkata, dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN, rantau itu dijangka menjadi sebuah komuniti yang menggalakkan akses yang saksama kepada peluang untuk pembangunan manusia dan integrasi ekonomi yang lebih erat.

Selain itu, katanya ‘pencapaian penting’ Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 di Bangkok baru-baru ini, akan menyediakan rangsangan utama untuk perdagangan bebas dan adil melalui peluang yang meningkat bagi ASEAN dan rakan dagangannya.

Sehubungan itu, Darell menggesa kepada kerjasama yang erat antara Malaysia dan Jepun dalam meninjau peluang pada masa depan.

“Malaysia mempunyai banyak tawaran apabila berkaitan perniagaan dan kami sentiasa menghargai kehadiran syarikat Jepun di Malaysia,” katanya.

Tahun lalu, Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia, manakala Malaysia adalah rakan dagang ke-14 terbesar Jepun dengan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM134.24 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Jepun sebanyak RM95.59 bilion. - BERNAMA

Berita Harian X