Rabu, 4 Disember 2019 | 11:12am

Hampir semua negara APEC tolak jemputan hadiri mesyuarat di AS

CYBERJAYA: Hampir semua negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) termasuk Malaysia menolak jemputan Amerika Syarikat (AS) yang mahu mengadakan mesyuarat APEC di negara itu tahun depan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri, berkata penolakan itu dibuat kerana beranggapan mesyuarat berkenaan adalah tidak perlu.

“Saya mendengar mereka (AS) menghantar jemputan kepada negara APEC, tetapi hampir semua daripada kami memutuskan yang ia (mesyuarat) tidak perlu, maka kami tidak pergi.

“(Ini kerana) saya fikir ia tidak perlu dari awal lagi. Chile melakukan penganjuran dan persiapan yang baik (APEC 2019). Jika anda (AS) memanggil mengadakan mesyuarat yang tidak dirancang, dari situ kami memutuskan yang ia tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran APEC 2020, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Timbalannya, Ong Kian Ming.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini dilaporkan mengundang pemimpin ASEAN untuk menghadiri satu sidang kemuncak khas di AS, suku pertama 2020 selepas tahun kedua berturut-turut pemimpin negara itu tidak menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.

Undangan itu disampaikan menerusi Penasihat Keselamatan Nasional AS, Robert O’Brien ketika menghadiri Sidang Kemuncak AS-ASEAN di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 di Bangkok.

Pada 30 Oktober lalu, Chile mengumumkan pembatalan mesyuarat APEC Ke-27 yang sepatutnya berlangsung di Santiago, pada 16 dan 17 November.

Pengumuman itu dibuat ketika Chile berada dalam ketegangan krisis politik dan protes besar-besaran yang berlaku di beberapa bandar raya utama negara itu.

Sementara itu ditanya bagaimana APEC dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam menangani perang dagang di antara AS-China, Dr Mahathir berkata sejak 30 tahun penubuhan kerjasama itu, ia memainkan peranan yang amat penting kepada dunia.

“Adalah jelas banyak negara sudah mengadaptasi resolusi APEC dan menunjukkan perkembangan yang baik daripada perdagangan bebas dan kebergantungan terhadap perdagangan untuk mengembangkan ekonomi.

“Hanya selepas itu kita berdepan dengan perang dagang AS-China, dan walaupun ia menjejaskan sedikit kesepaduan APEC, tetapi semangatnya masih ada apabila ahli masih mahu menghadiri mesyuarat APEC.

“Saya fikir yang perbincangan kali ini akan menghasilkan keputusan yang penting,” katanya.

Dr Mahathir turut menekankan kepentingan supaya pertumbuhan ekonomi dikongsi dengan orang lain.

“Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, bahawa tidak hanya penting untuk mengembangkan ekonomi tetapi juga penting untuk pertumbuhan ekonomi dikongsi dengan semua orang.

“Ia mesti inklusif. Ia bukan hanya untuk sesetengah pihak atau sesetengah negara saja dan yang lain tidak menikmati pertumbuhan yang adil,” katanya.

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada majlis pelancaran APEC 2020, di Cyberjaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X