KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 13,002 orang daripada 4,626 keluarga sehingga jam 3 petang hari ini.
Mereka ditempatkan di 64 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang, dan Kuala Krai.
Maklumat bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan PPS di Jeli dan Bachok mula ditutup hari ini dan jumlah pusat pemindahan juga berkurangan walaupun mangsa meningkat.
Bilangan mangsa banjir di Pasir Mas terus meningkat kepada 8,726 daripada 3,404 keluarga di 29 PPS diikuti Tumpat, 1,642 orang daripada 536 mangsa di lima pusat pemindahan.
Mangsa banjir di Kuala Krai adalah 653 orang daripada 146 keluarga di lapan PPS manakala Kota Bharu mencatatkan 667 mangsa daripada 181 keluarga di empat PPS.
Pasir Puteh seramai 826 mangsa daripada 219 keluarga di lapan PPS, Tanah Merah dengan 348 mangsa daripada 102 keluarga di tujuh PPS dan Machang 140 mangsa daripada 38 keluarga di tiga PPS.