Ahad, 1 Disember 2019 | 5:56pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (tengah) bergambar bersama petugas selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Kinta River Walk, Ipoh. Turut sama, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming (tiga kanan). NSTP/Abdullah Yusof
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (tengah) bergambar bersama petugas selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Kinta River Walk, Ipoh. Turut sama, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming (tiga kanan). NSTP/Abdullah Yusof

Tindakan terhadap doktor kenakan caj tinggi

IPOH: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan terhadap doktor yang mengenakan caj konsultasi melebihi kadar ditetapkan oleh kerajaan, sama ada pesakit menggunakan kad insurans perubatan atau bayaran tunai.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye, berkata pada masa sama, doktor khususnya di hospital dan klinik swasta, boleh serta berhak memberikan diskaun kepada pesakit berdasarkan budi bicara masing-masing.

Katanya, caj untuk konsultasi doktor dikawal menerusi Perintah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta lain)(Pindaan) 2013 dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

“Mereka (doktor) tidak boleh (mengenakan caj) melebihi apa yang ditetapkan dalam akta itu dan sekiranya berbuat demikian, mereka perlu menerangkan (kepada pelanggan) kenapa kenakan caj lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan.

“Kalau ada aduan membuktikan caj itu melebihi kadar yang ditetapkan dalam akta, kementerian boleh ambil tindakan terhadap doktor berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Kinta River Walk di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan BH mengenai ada klinik swasta mengenakan caj tambahan sehingga 10 peratus terhadap pemegang polisi insurans berbanding bayaran tunai, manakala harga ubat dikenakan hampir 90 peratus lebih mahal berbanding dibeli di farmasi.

Tindakan itu mengakibatkan kuota perlindungan pesakit untuk pemegang polisi insurans cepat habis dan harga ubat meningkat hampir 90 peratus lebih mahal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilaporkan berkata pihaknya memandang serius amalan klinik dan pusat perubatan swasta mengenakan caj rawatan dan kos perubatan berbeza bagi pesakit membayar secara tunai dan pesakit menggunakan kad insurans.

Dr Boon Chye berkata caj konsultasi sudah ditetapkan, sama ada pesakit membayarnya secara tunai atau menggunakan kad perubatan, ia tidak boleh melebihi caj ditetapkan dan orang ramai boleh mengetahui kadar itu dalam laman sesawang berkaitan akta terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mengawal kadar yang ditetapkan hospital dan klinik swasta terhadap perkara lain seperti bekalan ubat, penginapan, makanan serta pelbagai perkhidmatan lain disediakan pihak berkenaan.

“Aspek seperti penginapan dan sebagainya, faktor pasaran menentukan harga, kita tidak kawal dan tentukan aspek berkenaan,” katanya.

Katanya, bagi pesakit yang menggunakan kad insurans perubatan untuk mendapatkan perkhidmatan itu, kebiasaannya syarikat insuran terbabit sudah ada perjanjian dengan pihak hospital berkaitan termasuk terma kredit seperti tempoh bayaran ditetapkan

Beliau berkata, terpulang kepada pihak berkaitan untuk menentukannya kerana penetapan kadar harga bukan di bawah kawalan Kementerian Kesihatan.

Berita Harian X