Ahad, 1 Disember 2019 | 5:11pm
KTMB mengumumkan perubahan operasi membabitkan perkhidmatan tren yang bermula dari Stesen Tumpat, Wakaf Bharu dan Pasir Mas. - Arkib NSTP

KTMB umum perubahan operasi perjalanan tren di Pantai Timur

KOTA BHARU: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan perubahan operasi membabitkan perkhidmatan tren yang bermula dari Stesen Tumpat, Wakaf Bharu dan Pasir Mas berikutan keadaan semasa musim tengkujuh di kawasan Pantai Timur.

Ketua Komunikasi Korporat KTMB, Ahmad ‘Asri Khalbi, berkata penumpang dari Stesen Tumpat, Wakaf Bharu dan Pasir Mas diminta menaiki tren dari Stesen Tanah Merah dan digesa menggunakan perkhidmatan alternatif untuk ke stesen itu.

“Tren No. 27 dari Tumpat ke JB Sentral yang dijadualkan berlepas pada jam 6.50 petang ini, sebaliknya akan bermula dari Stesen Tanah Merah pada 7.49 malam. Perubahan berkuat kuasa sehingga notis terkini dikeluarkan KTMB,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata penumpang boleh membuat pertukaran tarikh, masa atau membatalkan perjalanan itu dan pemulangan harga tiket penuh akan diberikan bagi sebarang pembatalan.

KTMB juga menasihati penumpang agar mendapatkan maklumat terkini berkaitan operasi tren-tren di Wilayah Timur dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi 24 jam dengan menelefon 03-22671200.

Maklumat juga boleh didapati menerusi laman web rasmi www.ktmb.com.my atau ktmberhad (Facebook), ktmbofficial (Instagram), @ktm_berhad (Twitter),”katanya. - BERNAMA

Berita Harian X