Sabtu, 30 November 2019 | 10:17am
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking (tiga dari kanan) ketika hadir pada Seminar Perniagaan di antara Malaysia dan Jepun di Kobe, Jepun. - Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking (tiga dari kanan) ketika hadir pada Seminar Perniagaan di antara Malaysia dan Jepun di Kobe, Jepun. - Foto ihsan Jabatan Ketua Menteri

Sabah hab logistik terbaik kepada syarikat Jepun

KOTA KINABALU: Kedudukan Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu di laluan perdagangan Selat Lombok-Makkasar yang semakin berkembang, menjadikan Sabah sebagai hab logistik terbaik kepada syarikat dari Jepun.

Potensi Sabah sebagai pintu masuk ke Jepun meluaskan empayar perdagangan ke negara ASEAN, dijelaskan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam Seminar Perniagaan antara Malaysia dan Jepun yang berlangsung bersama kira-kira 200 pelabur dan ahli perniagaan daripada 140 syarikat dari Kobe di negara matahari terbit itu.

Dalam ucaptamanya, Mohd Shafie, berkata faktor kedudukan itu antara punca kerajaan negeri membangunkan fasiliti pelabuhan baharu iaitu POIC Lahad Datu.

“Kami berada di laluan perkapalan Selat Lombok-Makassar yang semakin mendapat tumpuan kapal perdagangan di Asia Tenggara.

“Ini menjadikan pantai timur Sabah sebagai lokasi utama untuk membangunkan hab logistik berikutan pertambahan jumlah kapal perdagangan di selat berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kobe.

Seminar berkenaan turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Pembangunan Pelaburan Malaysia, (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Wan Latiff Wan Musa.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Shafie, berkata Sabah yang kaya dengan sumber alam turut menawarkan peluang perniagaan dalam pelbagai sektor kepada Jepun antaranya industri minyak dan gas, industri halal, minyak sawit, akuakultur, perikanan, rumpai laut dan pembuatan perabot kerana negeri terbabit mempunyai sumber balak yang banyak.

Dengan keluasan tanaman sawit meliputi 1.5 juta hektar, Sabah mengeluarkan enam juta minyak sawit mentah (CPO) dan 30 juta tan minyak inti sawit mentah (CPKO) setahun untuk industri biomas yang terkenal di Jepun.

Mohd Shafie turut memberi jaminan kerajaan negeri akan memberi laluan mudah kepada mana-mana syarikat di Jepun mendapatkan kelulusan melabur di negeri itu tanpa perlu melalui kerenah birokrasi yang banyak, asalkan permohonan dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Sabah adalah lokasi menarik untuk pelaburan, kami menawarkan kedudukan strategik untuk industri halal, pergerakan kargo halal dan pengedaran barang, sumber yang banyak seperti minyak sawit mentah, akuakultur, perikanan, rumpai laut dan produk sampingan sawit di antara Sabah dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Industri kayu-kayan adalah antara yang saya harap dapat menarik kemasukan usahawan Jepun. Kami mengharamkan eksport kayu balak untuk menyokong industri perabot.

“Seperti saya katakan sebelum ini, Sabah mempunyai hutan hujan tertua di dunia dan industri pembalakan kami dibangunkan secara mampan agar menepati standard yang ditetapkan di peringkat global,” katanya.

Berita Harian X