Jumaat, 29 November 2019 | 8:36pm
Bee Yin (tengah) bersama Isnaraissah (kiri) dan Siti Hamisah di MESTECC Putrajaya. - FB MESTECC
Bee Yin (tengah) bersama Isnaraissah (kiri) dan Siti Hamisah di MESTECC Putrajaya. - FB MESTECC

Tiga jurutera wanita naung MESTECC

PUTRAJAYA: Tiga jurutera wanita kini menerajui Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk memperkasa agenda tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim negara.

Selain menteri Yeo Bee Yin dan timbalannya, Isnaraissah Munirah Majilis yang berlatarbelakangkan kejuruteraan, terbaru ialah Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha MESTECC, hari ini.

MESTECC dalam kenyataan hari ini bagi mengumumkan pelantikan itu berkata, Siti Hamisah menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya yang bersara pada 6 November lalu selepas berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha MESTECC sejak penubuhannya pada 16 Julai 2018.

“Pelantikan Siti Hamisah bersama gabungan menteri dan timbalan menteri akan dapat melonjakkan agenda sains dan teknologi negara ke tahap yang lebih tinggi serta memperkasakan visi kemampanan tenaga kelestarian alam sekitar dan tindakan perubahan iklim sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Siti Hamisah mempunyai kelulusan PhD dalam bidang Kejuruteraan Awam dari University of Leeds, United Kingdom; Sarjana Kejuruteraan Sains, Universiti of Lowell, Massachusetts, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari New England College, Amerika Syarikat.

Sebelum ini, beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan (KPM) sejak Januari 2017.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi, KPM pada tahun 2013 dan Timbalan Ketua Pengarah (IPTS) dari tahun 2009.

Yeo mempunyai Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Universiti Cambridge, manakala Isnaraissah Munirah pula adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Elektrik dan Elektronik dari Universiti Malaysia Sabah dan kini di peringkat akhir menyiapkan disertasi Sarjana Minyak dan Gas di universiti sama.

MESTECC dalam kenyataan itu turut merakamkan penghargaan kepada Azhar yang menunjukkan ketokohan dan memainkan peranan penting dalam pembentukan MESTECC serta mencapai pelbagai kejayaan dalam pelaksanaan program berimpak tinggi. - BERNAMA

Berita Harian X