Jumaat, 29 November 2019 | 6:40pm

Belum ada saman dikeluarkan kepada pemandu e-hailing tiada PSV - JPJ

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih memberi keutamaan kepada pendekatan pemantauan dan pendidikan biarpun penguatkuasaan bagi peraturan e-hailing dimulakan sejak 12 Oktober lalu.

Sumber berkata, setakat ini belum ada saman dikeluarkan terhadap pemandu e-hailing yang masih belum melengkapkan syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

“JPJ masih gunakan pendekatan `soft landing’, bukan bermakna kita tidak tegas, tetapi pemeriksaan tetap dijalankan secara berterusan.

“Apabila pemeriksaan dibuat ke atas pemandu e-hailing kita akan tanya mereka sudah ada atau tidak dokumen yang lengkap termasuk permit, pelekat e-hailing dan lesen PSV.

“Jika masih tiada, kita minta mereka segera buat dan lengkapkan dokumen. JPJ sudah beri peluang dan masa yang panjang sebelum ini, usahakan perkara ini sebelum penguatkuasaan ‘sebenar’ dilaksanakan.

“Jadi mereka perlu ikut peraturan ditetapkan, pastikan syarikat e-hailing juga turut membantu pemandu mereka lengkapkan dokumen diperlukan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, pemandu e-hailing yang dalam proses melengkapkan peraturan berkaitan perkhidmatan itu akan dipertimbangkan untuk diberi kelonggaran daripada tindakan penguatkuasaan yang bermula pada 12 Oktober lalu.

Beliau berkata, kementeriannya masih memberikan peluang kepada pemandu yang sudah mengambil langkah untuk mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), namun belum selesai.

Setakat Oktober lalu, seramai 69,053 calon sudah lulus ujian PSV.

Dalam pada itu, sumber berkenaan turut mengingatkan pemandu e-hailing supaya tidak menunggu pelanggan di lapangan terbang sehingga menjejaskan pendapatan teksi lapangan terbang.

“Daripada pemeriksaan kita, terutama di lapangan terbang ada pemandu yang menunggu hingga melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Jadi kita minta mereka ini bertolak ansur dengan pemandu teksi di lapangan terbang yang turut mencari pelanggan di situ.

“Pemandu e-hailing boleh mendapatkan pelanggan di mana-mana tempat dan kawasan. Kasihanilah pemandu teksi,” katanya.

Berita Harian X