Khamis, 28 November 2019 | 8:21pm
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bergambar bersama peserta latihan vokasinal selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Para Belia Kurang Upaya Untuk Menjalani Latihan Vokasinol, di Yayasan MRCB, Stesen Sentral Kuala Lumpur. Turut kelihatan, Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng (kanan) serta Presiden Rumah Cheshire Homes, Datin Paduka Khatijah Sulaiman (lima dari kiri), NSTP/Mohd Yusni Ariffin.
RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bergambar bersama peserta latihan vokasinal selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Para Belia Kurang Upaya Untuk Menjalani Latihan Vokasinol, di Yayasan MRCB, Stesen Sentral Kuala Lumpur. Turut kelihatan, Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah Heng (kanan) serta Presiden Rumah Cheshire Homes, Datin Paduka Khatijah Sulaiman (lima dari kiri), NSTP/Mohd Yusni Ariffin.

Yayasan MRCB tambah tajaan latih belia OKU

KUALA LUMPUR: Bimbingan yang disediakan kepada belia orang kurang upaya (OKU) oleh pusat latihan Rumah Amal Cheshire dekat Batu Caves di sini dengan tajaan Yayasan MRCB, terbukti berjaya membantu golongan terbabit berdikari menerusi pekerjaan diperoleh mereka.

Sejak tahun lalu, Yayasan MRCB menyumbang RM60,000 kepada pusat latihan itu untuk melatih kumpulan pertama seramai 10 belia OKU bermasalah pembelajaran, menerusi program berstruktur bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka.

Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah, berkata hasil bimbingan selama enam bulan di pusat latihan itu, kumpulan pertama terbabit kini mendapat pekerjaan dengan pelbagai organisasi seperti hotel dan restoran makanan segera sehingga mampu berdikari dengan pendapatan diterima.

”Kami gembira dengan pencapaian 10 belia yang menerima latihan menerusi tajaan dihulurkan tahun lalu. Tahun ini, Yayasan MRCB menyumbang sejumlah RM60,000 lagi bagi membiayai program untuk kumpulan kedua membabitkan 10 lagi belia.

“Kami yakin, hasil sumbangan ini dengan program berstruktur disediakan oleh Rumah Cheshire, 10 belia yang dipilih ini akan mendapat faedah daripada latihan vokasional yang disediakan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan Yayasan MRCB kepada Rumah Cheshire yang disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga penaung rumah kebajikan itu.

Majlis yang berlangsung di KL Sentral itu, turut dihadiri Pemegang Amanah Yayasan MRCB, Jamaludin Zakaria dan Datuk Shamrat Sen Gupta.

Jasmine berkata, selain program melatih golongan belia OKU itu, Yayasan MRCB baru-baru ini turt mengatur sumbangan berjumlah RM35,000 bagi kerja membaik pulih perpustakaan, tandas OKU serta pembelian set meja dan kerusi baru kepada empat sekolah di Selangor.

Katanya, pada Ogos lalu, yayasan turut menganjurkan Klinik UPSR untuk 600 murid kurang bernasib baik daripada tujuh sekolah angkatnya di Wilayah Persekutuan, Perak, Selangor dan Pulau Pinang, selain menyumbang mesin Braille kepada murid cacat penglihatan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu di ibu kota.

Pada Jun lalu, yayasan itu melancarkan program bantuan makanan selama setahun bernilai RM231,000 kepada 384 pelajar kurang berkemampuan daripada 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor.

Jasmine berkata, secara keseluruhannya, sepanjang tahun ini, Yayasan MRCB menyumbang lebih daripada RM1 juta bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan masyarakat tidak bernasib baik di seluruh negara.

Berita Harian X