Rabu, 27 November 2019 | 1:23pm
Pengaruh gajet terhadap kehidupan harian kanak-kanak di negara ini, begitu membimbangkan. - Foto hiasan
Pengaruh gajet terhadap kehidupan harian kanak-kanak di negara ini, begitu membimbangkan. - Foto hiasan

Pengaruh gajet terhadap kanak-kanak membimbangkan

KUALA LUMPUR: Pengaruh gajet terhadap kehidupan harian kanak-kanak di negara ini, begitu membimbangkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata situasi ini disebabkan kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai kesan negatif gajet kepada perkembangan anak-anak.

Beliau berkata, satu tinjauan pendapat dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Lembah Klang mendapati, 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak-anak memiliki gajet.

“Amat membimbangkan dengan sikap masyarakat yang kini dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (PH-Beaufort) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, memang tidak dinafikan penggunaan gajet mempunyai banyak faedah terutama dalam pembelajaran, komunikasi dan jual beli.

Hannah Yeoh berkata, situasi ini disebabkan kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai kesan gajet terhadap perkembangan kanak-kanak. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Hannah Yeoh berkata, situasi ini disebabkan kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai kesan gajet terhadap perkembangan kanak-kanak. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

“Namun, teknologi juga memberi kesan negatif terutama kepada kanak-kanak jika disalahgunakan dan tanpa pengawasan orang tua.

“Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017 oleh Institut Kajian Umum (IKU) Kementerian Kesihatan, sebanyak 50.1 peratus pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 17 tahun menghabiskan masa lebih tiga jam menonton televisyen dan bermain permainan di komputer.

“Tinjauan juga mendapati sebanyak 85.6 peratus remaja adalah pengguna internet dan 29 peratus dalam kalangan mereka sudah ketagihan internet.

“Peralatan untuk mereka melayari internet adalah telefon pintar sebanyak 94 peratus, komputer 62 peratus dan peranti tablet 31 peratus,” katanya.

Bagi mengawal persekitaran tidak sihat itu, beliau berkata kementerian menerusi LPPKN mengambil beberapa inisiatif seperti menganjurkan majlis ilmu kekeluargaan pada Forum Keibubapaan di Alam Siber dan bicara santai keluarga yang membincangkan topik seperti keselamatan siber, pengantunan kanak-kanak dan pornografi.

“LPPKN turut menganjurkan forum ‘Digital Parenting and Child Online Protection’ dengan kerjasama UNICEF pada 20 Jun 2019 serta seminar keselamatan kanak-kanak ‘Always Beware and Be Aware’ (ABBA) oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) sejak 2015,” katanya.

Berita Harian X