Selasa, 26 November 2019 | 12:31pm
Gambar fail, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Gambar fail, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Defisit kepercayaan golongan menengah, elit terhadap sistem pendidikan kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengakui berlaku defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat terhadap sistem pendidikan kebangsaan, terutama daripada golongan menengah dan elit.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata disebabkan itu, golongan ini memilih untuk menghantar anak mereka sama ada ke sekolah antarabangsa dan swasta atau sekolah aliran yang berbeza.

Katanya, kementerian sejak dahulu percaya kepada pendemokrasian pendidikan, namun tetap terikat dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan lain-lain.

“Apa yang penting adalah apa usaha kita untuk memberi keyakinan kepada rakyat.

“Kementerian komited untuk memastikan di mana pun pelajar dihantar, di penghujungnya adalah isu keharmonian, Akta Bahasa Kebangsaan, Perlembagaan dan perpaduan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang bertanya sama ada terdapat kajian yang dijalankan kementerian bagi mengenal pasti sebab utama ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah menengah persendirian Cina berbanding memilih sekolah milik kerajaan dan apa usaha kementerian untuk menjadikan sekolah menengah kebangsaan sebagai pilihan utama terutama dari aspek mutu dan kualiti.

Maszlee berkata, sejak tahun lalu, kementerian menubuhkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan bagi membuat kajian dan proses libat urus untuk menambah baik sistem pendidikan negara, dan hasil laporannya akan diberikan kepada kementerian untuk penilaian, seterusnya dilaksanakan sebagai pelan hala tuju jangka panjang bermula 2021.

“Ia perlu dilakukan secara teliti. Kita sedar bahawa di sana terdapat kelebihan daripada pelan induk yang sudah disediakan sebelum ini, namun ia perlu ditambah baik,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) yang bertanya bila hasil kajian Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) akan dibentangkan dan sejauh mana ia akan mempengaruhi sistem persekolahan negara pada masa akan datang, Maszlee berkata, beliau optimis laporan lengkap PPDUEC akan diserahkan kepada pihaknya pada tahun ini juga untuk diteliti, sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri untuk sebarang keputusan muktamad.

Beliau memaklumkan, PPDUEC menjalankan libat urus dengan pelbagai pihak

termasuk 17 tokoh individu dalam bidang pendidikan, politik dan sosial; 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO); lima parti politik; 12 agensi kerajaan dan 14 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) bagi memastikan maklum balas berkaitan isu pengiktirafan sijil UEC sebagai syarat am kelayakan memasuki IPTA bersifat menyeluruh.

Selain itu katanya, sebanyak dua siri townhall membabitkan golongan muda dijalankan, selain bersama Ahli Parlimen, dengan jumlah keseluruhan yang terbabit dalam memberikan pandangan dan sumbang saran berhubung isu itu adalah seramai 406 orang.

“PPDUEC kini dalam proses akhir memurnikan laporan kajian. Laporan ini akan disusun bersama lampiran termasuk transkrip setiap temubual yang dilakukan.

“Sehingga hari ini, PPDUEC berjaya menyiapkan transkripsi 38 sesi daripada 48 sesi rakaman yang ada. Transkrip setiap temubual adalah satu elemen penting dalam laporan yang bakal dikemukakan demi berlaku adil kepada semua pihak yang mengemukakan pandangan,” katanya.

Berita Harian X