Khamis, 21 November 2019 | 5:54pm
Gambar fail, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. - Foto Rohanis Shukri

Beri lesen nelayan ikut kajian saintifik

KUALA LUMPUR: Lesen nelayan tidak diberi sewenang-wenangnya kerana boleh merencatkan kadar hasil laut dan memusnahkan ekosistem pembiakan hidupan marin.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri, Sim Tze Tzin, mengakui rungutan mendapatkan lesen nelayan sering dibangkitkan, namun kelulusan tertakluk kepada beberapa faktor yang ditentukan menerusi fakta saintifik.

Ia merangkumi penilaian sumber laut di kawasan berkaitan bagi memastikan peruntukan jumlah lesen nelayan tidak menyebabkan hasil sektor perikanan menjadi tandus.

“Kalau terlalu banyak lesen dikeluarkan, nelayan tidak akan dapat cari makan kerana persaingan terlalu sengit dan dikhuatiri mencetuskan pergaduhan.

“Oleh itu, kita kaji sumber kawasan perairan terbabit supaya fakta saintifik ini digunakan sebagai penanda aras kepada jumlah lesen nelayan yang boleh dikeluarkan.

“Kalau (kawasan perairan itu) boleh tampung lebih nelayan, kita akan beri lesen kepada orang muda.

“Namun, kalau ia tidak berlaku, golongan tua perlu bersara bagi memberi laluan kepada generasi pelapis,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai peluang generasi kedua nelayan mendapatkan lesen, sekali gus memperuntukkan perlindungan insurans dan elaun sara hidup kerana ramai dikatakan turun ke laut secara ‘curi-curi’ serta menyabung nyawa.

Kepada soalan asal Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berhubung mekanisme pemutihan elaun sara hidup (ESH) nelayan, Tze Tzin menjelaskan, kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengendalikan semakan bersandarkan beberapa kriteria.

Antaranya merangkumi status kekerapan turun ke laut, terutama bagi individu berumur 70 tahun ke atas, nelayan wanita, rekod pengisytiharan hasil tangkapan ikan bulanan dan transaksi pembelian diesel atau petrol bersubsidi.

“Mulai 2020, ESH berkadar RM250 sebulan akan disalurkan kepada 37,000 pemilik vesel zon A dan awak-awak tempatan.

“Nelayan yang tidak menerima bantuan ESH masih boleh mengemukakan rayuan untuk semakan semula dan dipertimbangkan mengikut syarat kelayakan tertentu,” katanya.

Berita Harian X