Khamis, 21 November 2019 | 3:07pm
Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar. - NSTP/Khairull Azry Bidin
Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Sabah negeri pertama turunkan had umur mengundi kepada 18 tahun

KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri pertama menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2019) hari ini.

.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar, berkata rang undang-undang itu diluluskan selepas mendapat sokongan dua pertiga undi daripada ahli dewan.

“Dengan sokongan pindaan itu, saya fikir Sabah adalah negeri pertama menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Ini juga seiring Akta Umur Dewasa 1971 dan takrifan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dengan kebanyakan negara di dunia sudah menurunkan had umur mengundi.

“Justeru, dengan kelulusan oleh DUN Sabah hari ini, bermakna pada pilihan raya akan datang, anak-anak muda berusia 18 tahun sudah boleh menjadi calon,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2019, di sini hari ini.

Aidi berkata, sokongan itu turut memperlihatkan Kerajaan Sabah prihatin terhadap kepentingan penyertaan generasi muda dalam membuat dasar negeri.

Pada Julai lalu, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Keseluruhannya, tujuh wakil rakyat membahaskan rang undang-undang itu antaranya Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR - Tambunan); Datuk Masidi Manjun (BERSATU - Karanaan) dan Datuk Osman Jamal (WARISAN - Balung).

Terdahulu dalam pembentangan rang undang-undang itu, Aidi berkata, cadangan untuk menurunkan had umur mengundi menunjukkan bahawa kerajaan sekarang menilai betapa peranan belia amat penting untuk menentukan corak masa hadapan negeri ini.

Berita Harian X