Rabu, 20 November 2019 | 7:58pm
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. - Foto Aswadi Alias
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. - Foto Aswadi Alias

Industri IR 4.0 turut jejas profesion akauntan: Kulasegaran

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia mendedahkan 80 peratus pekerjaan dalam bidang perakaunan tidak lagi relevan pada masa depan menjelang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menterinya, M Kulasegaran, berkata profesion profesional seperti akauntan antara banyak bidang pekerjaan yang tidak lagi relevan hingga memerlukan kerajaan melakukan sesuatu bagi memastikan rakyat bersedia menghadapinya terutamanya bagi pelajar.

Beliau berkata, banyak bidang pekerjaan akan diambil alih teknologi kecerdasan buatan (AI) menjelang IR 4.0 yang menyaksikan dunia semakin berubah ke arah lebih moden.

“Anda pasti akan terkejut apabila 80 peratus pekerjaan dalam bidang perakaunan tidak lagi relevan.

“Sebab itulah, kita akan memuat naik senarai pekerjaan yang dikategorikan berisiko pada masa depan pada bulan depan untuk dijadikan rujukan semua pihak,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Program B40 Pembinaan Kapasiti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 100 graduan berjaya menamatkan kursus masing-masing iaitu pegawai kesihatan dan keselamatan serta penyelia keselamatan tapak selama 25 hari.

Kulasegaran berkata, pihaknya pada peringkat akhir bagi melengkapkan dokumentasi membabitkan senarai kerja kritikal yang didapati tidak relevan beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, pihaknya menjadikan hasil dapatan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk disesuaikan dengan pekerjaan yang ada dan dilihat sebagai kritikal.

“Kita akan memuat naik dalam laman web kementerian bagi membolehkan semua pihak terutama ibu bapa dan pelajar merancang jurusan apa boleh diambil bagi memastikan peluang mendapatkan kerja pada masa depan.

“Perkara ini penting kerana tanpa mengetahui jurusan apa yang menjamin peluang kerja, jadi sudah pasti apabila mendapat ijazah, seseorang itu tidak dapat kerja lagi.

“Sebab itu, banyak graduan pada masa sekarang tidak dapat kerja kerana jurusan diambil tidak relevan dengan keperluan pekerjaan sekarang,” katanya.

Semalam, Kulasegaran berkata, pihaknya akan mengedarkan senarai pekerjaan yang dikategorikan berisiko pada masa hadapan sebagai rujukan pelajar untuk memilih jurusan di institusi pendidikan tinggi ke setiap sekolah.

Beliau berkata, ia akan membantu pelajar mengelak memilih bidang pengajian tidak mempunyai masa depan atau sedia berdepan risiko tidak memiliki pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Proses menyenarai bidang pekerjaan itu disediakan dengan kerjasama Bank Dunia, ILO, Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) serta Talent Corp,” katanya.

Berita Harian X