Rabu, 20 November 2019 | 12:10pm
- Foto hiasan

Tidak cukup korum, sidang Dewan Rakyat bermula lewat

KUALA LUMPUR: Isu korum tidak mencukupi membuatkan sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat bermula lewat, pagi ini.

Deringan loceng dua minit sebagai isyarat bagi ahli Parlimen memasuki Dewan, disusuli bacaan doa berjalan seperti biasa di hadapan Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Sejurus Datuk Dr Hasan Baharom (PH-Tampin) diminta mengemukakan soalan pertama bagi memulakan sesi pertanyaan lisan, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) bangkit mencelah pada jam 10.04 pagi.

"Peraturan Mesyuarat Tan Sri, saya nampak tak cukup korum," katanya.

Mohamad Ariff kemudian dilihat mengira bilangan Ahli Parlimen di dalam Dewan dan mendapati hanya 24 orang hadir, berbanding 26 yang diperlukan bagi mencukupkan korum.

"Hanya 24 orang... 25, 24? 24. Bunyikan loceng lagi sekali," katanya, disusuli deringan loceng selama seminit.

Kedengaran kiraan dilakukan dengan kemasukan Ahli Parlimen dan Datuk Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) ‘menyelamatkan’ suasana apabila mencukupkan bilangan 26 anggota.

"Nasib baik ada Tanjung Piai. Bagus Tanjung Piai," kata Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar).

Mohamad Ariff kemudian meminta sesi soal jawab diteruskan selepas mendapati korum mencukupi.

"Cukup dah, berlebih satu. Ada 27... 28 orang. Kita mulakan sekarang," katanya.

Hasan kemudian mengemukakan soalan bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Berita Harian X