Selasa, 19 November 2019 | 8:52pm
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunjukkan cara memasak Masakan Melayu kepada Chef Omur Akkor (depan dua, kiri) di Istana Melawati hari ini. Chef Omur Akkor yang merupakan peminat Tunku Hajah Azizah sering mengikuti aktiviti masakan baginda di laman sosial terutamanya Instagram. - Foto BERNAMA
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunjukkan cara memasak Masakan Melayu kepada Chef Omur Akkor (depan dua, kiri) di Istana Melawati hari ini. Chef Omur Akkor yang merupakan peminat Tunku Hajah Azizah sering mengikuti aktiviti masakan baginda di laman sosial terutamanya Instagram. - Foto BERNAMA

Tunku Azizah kongsi resipi Malaysia bersama chef Turki

PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempamerkan kemahiran memasak baginda kepada dua chef berpengalaman dari Turki, termasuk berkogsi resipi masakan Malaysia dengan mereka di Istana Melawati, di sini hari ini.

Kedua-dua cef berkenaan, Omur Akkor dan Alper Unluturk adalah peminat masakan `air tangan’ Tunku Azizah dengan mengikuti aktiviti masakan baginda di laman sosial.

Akkor yang begitu tertarik dengan hidangan ketam masak lemak cili api yang disediakan Tunku Azizah dan dimakan bersama nasi kerabu, meminta seorang daripada 10 cef Istana Negara yang membantu baginda memasak hari ini untuk menulis resipi itu untuknya.

Selain menyaksikan sendiri kehebatan baginda menyediakan lauk ketam masak lemak cili padi, Akkor dan Unluturk turut menyediakan manisan diraja Turki yang dikenali sebagai helva-i hakani iaitu resipi yang sudah berusia 500 tahun.

“Ia bermaksud manisan diraja dalam bahasa Turki. Resipi ini dari tahun 1535. Ia pertama kali dibuat untuk upacara berkhatan seorang putera. Ia adalah manisan yang semakin dilupakan pada masa kini. Hidangan ini diperbuat daripada tepung, mentega, gula, badam dan susu,” katanya.

Satu lagi juadah Turki yang disediakan dua cef itu ialah hidangan pembuka selera iaitu Mucver yang diperbuat daripada zukini, parsli, bawang besar, tepung dan telur.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berangkat ke majlis berkenaan bagi menyaksikan Akkor dan Unluturk memasak dan mencuba hidangan Turki.

Seri Paduka berdua memuji keenakan hidangan Turki berkenaan selepas diberi penghormatan untuk menyantap hidangan tersebut.

Satu lagi hidangan yang disediakan Tunku Azizah ialah nasi kerabu.

Sambil memasak, baginda menjelaskan kepada Akkor bahawa nasi kerabu biasanya dimakan pada waktu sarapan bersama ikan atau daging, solok lada, cili dan ulaman.

Baginda turut menunjukkan cara menyediakan puding raja, laksam dan bagaimana membungkus nasi tumpang kepada Akkor.

Akkor berkata, beliau mengagumi kisah masakan Tunku Azizah yang dikongsi melalui Twitter dan Instagram.

“Ini adalah kali pertama saya memasak di istana diraja dan disaksikan oleh Raja Permaisuri Agong. Ia merupakan pengalaman yang jarang berlaku dan saya rasa bangga,” katanya. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X