Selasa, 19 November 2019 | 12:59pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. NSTP/Sairien Nafis
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. NSTP/Sairien Nafis

Harga tanah Kampung Baru berdasarkan penilaian bukan spekulasi

KUALA LUMPUR: Harga tanah yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Baru adalah berdasarkan penilaian pasaran semasa dan bukan spekulasi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, menegaskan selain harga yang tertinggi pernah ditawarkan, penilaiannya turut dilakukan secara sah oleh Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH).

Katanya, tawaran harga kerajaan itu dibuat dengan hanya satu matlamat iaitu memastikan pembangunan Kampung Baru dapat direalisasikan.

"Kita adalah kerajaan dan bukan syarikat berniaga, maka kita beli (tanah) selepas penilaian dibuat JPPH dan bukan berdasarkan spekulasi.

"Kita tidak beli dengan harga zaman dulu atau akan datang. Itu spekulasi oleh orang yang bertindak sebagai broker.

"Saya bukan broker tetapi tawaran berdasarkan nilai semasa oleh jabatan kerajaan sendiri," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PAS-Pendang) yang bertanyakan mengenai kesan langsung pembinaan jejantas Saloma yang merentasi Lebuh Raya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) terhadap pembangunan penduduk Kampung Baru.

Istilah ‘broker’ yang digunakan mencetuskan riuh-rendah di Dewan, termasuk Awang yang bangun dan mengingatkan menteri supaya menjawab soalan ditanya tanpa perlu menyentuh perkara tidak berkaitan.

"Ini bukan Facebook atau Twitter, ini Parlimen, jawablah seperti menteri," katanya walaupun mendapat teguran Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Abdul Rashid Hasnon, supaya tidak terus bertikam lidah.

Kepada soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), Khalid menjelaskan, harga RM1,000 bagi sekaki persegi yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Baru tidak sepatutnya dibanding dengan tanah di sekitar kawasan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

"Tanah KLCC bernilai RM3,000 sekaki persegi tetapi itu selepas bangunan berkenaan dibina.

"Sebelum itu, ketika tanah di situ masih tapak lumba kuda dan lumba awal pembinaan KLCC, nilainya cuma RM400 sekaki persegi.

"Kampung Baru belum dibangunkan dan bila sudah dilaksanakan kelak, harganya pasti naik. Kita minta mereka kekal melabur, beli hartanah supaya dapat manfaat daripada pembangunan akan datang," katanya.

Mengenai peratusan yang bersetuju dengan tawaran kerajaan itu, Khalid berkata, sehingga kini hampir 35 peratus pemilik menyatakan persetujuan manakala selebihnya belum memberi maklum balas.

Berita Harian X