Selasa, 19 November 2019 | 10:49am
EXCO Perak, Paul Yong Choo Kiong. - Foto Abdullah Yusof
EXCO Perak, Paul Yong Choo Kiong. - Foto Abdullah Yusof

EXCO dituduh rogol ada tanggungjawab untuk hadiri Sidang DUN - MB Perak

IPOH: EXCO Perak, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan dakwaan merogol pembantu rumahnya, mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung serta menjawab soalan berkaitan portfolio disandangnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri itu, sudah memfailkan permohonan pada 13 November lalu supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Choo Kiong sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Sementara permohonannya dipertimbangkan oleh mahkamah, Choo Kiong telah memaklumkan hasratnya untuk kembali menjalankan tugasan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, di atas prinsip beliau tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah.

“Sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung permohonannya, Choo Kiong mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung dan juga menjawab soalan-soalan berkaitan dengan portfolio yang dipegang oleh beliau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, Choo Kiong juga akan meneruskan tugasannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh.

Pada 23 Ogos lalu, Choo Kiong didakwa merogol pembantu rumahnya di sebuah bilik di tingkat atas kediamannya di Jalan Desa Meru 2, Taman Desa Meru, dekat Ipoh antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam, 7 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebat.

Choo Kiong bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan perbicaraan kes itu berlangsung dua hari pada Isnin dan Rabu lalu sebelum ditangguh pada 5 Disember ini.

Berita Harian X