Isnin, 18 November 2019 | 7:44pm
AHLI Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemu bual pengamal media di lobi Parlimen. - Foto BERNAMA

Kalah bukan bermakna kerajaan perlu berundur - Anwar

KUALA LUMPUR: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bukan penanda aras tepat bagi kerajaan membubarkan Parlimen.

Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan diberi mandat untuk mentadbir negara walaupun mengalami kekalahan di beberapa PRK sebelum ini.

“Kita terima kekalahan mengejutkan ini dan sedar perlu ada beberapa tindakan lebih berkesan untuk memulihkan keyakinan rakyat, tetapi satu kekalahan atau dua, tiga, tidak bermakna kerajaan harus berundur.

“Kerajaan ada mandat untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya yang juga Presiden PKR kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Parlimen dibubar susulan kekalahan teruk PH di Tanjung Piai.

Mengenai peralihan undi kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN), Anwar berkata, perkara sama turut berlaku dalam kalangan pengundi muda dan ia mesej penting kepada PH untuk mengambil iktibar.

“Kita perlu betul-betul fahami kekecewaan rakyat. Kalau kita tak belajar dan tidak tahu lagi maknanya, kita tak layak memerintah.

“Kita sudah dapat maklumat dan sepatutnya hanya tunggu masa untuk ambil tindakan bijaksana bagi memulihkan keyakinan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson enggan mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung isu perasmi Konvensyen Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Kontroversi tercetus apabila jemputan terhadap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR di Melaka pada 6 Disember dibatalkan.

“Saya nak tumpu kepada masalah rakyat. Ucapan saya di konvensyen mengenai kemiskinan, kesenjangan ekonomi.

“Perlu pemimpin kerja kuat, belajar daripada bantahan rakyat di (PRK Parlimen) Tanjung Piai dan jangan sibuk dengan politik picisan,” kata Anwar.

Berita Harian X