Isnin, 18 November 2019 | 5:26pm
Ahmad Zahid (tengah) ketika ditemubual pengamal media di lobi Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Tiada usul undi tidak percaya - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Blok pembangkang memberi jaminan tiada usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memegang teguh prinsip demokrasi, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan apa juga tindakan perlu diterjemah menerusi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, cadangan supaya kerajaan membubarkan Parlimen seperti disuarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, adalah konsensus semua ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, mengakui ia tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir.

“Cadangan itu (membubarkan Parlimen) adalah pendirian seluruh ahli Parlimen pembangkang tetapi keputusan akhir berada di tangan Perdana Menteri.

“Bagi pembangkang, apa yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah isyarat lantang yang perlu difahami dengan jelas.

“Kita tidak akan mengusulkan undi tidak percaya terhadap kerajaan. Kita percaya kepada demokrasi dan ia perlu diterjemah melalui Perlembagaan dan Akta SPR,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri dilapor mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan susulan kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Beliau menjadikan keputusan tiga PRK sebelum ini, masing-masing di Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih serta DUN Rantau sebagai simbol rakyat menolak kerajaan pimpinan PH.

BN memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai kelmarin menerusi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti 15,086.

Mengenai peralihan undi kaum Cina kepada BN pada PRK Parlimen Tanjung Piai, Ahmad Zahid menyifatkannya sebagai manifestasi penolakan menyeluruh dan satu bentuk referandum (pungutan suara) kecil kepada kerajaan.

“Pengundi muda nampaknya sudah kembali kepada kita (BN). Ini memperlihatkan PH ditolak oleh pengundi Tanjung Piai.

“Ia menunjukkan mereka berminat memberi mandat kepada Dr Wee (Jeck Seng) walaupun tahu tiada peruntukan besar diterima sebagai ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Berita Harian X