Isnin, 18 November 2019 | 4:45pm
Foto hiasan

PH perlu kawal berita palsu

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan menggesa Pakatan Harapan (PH) berwaspada dengan tindakan pembangkang memanipulasi fakta dengan menyebarkan berita palsu bagi mempengaruhi pemikiran rakyat membenci kerajaan.

Gesaan itu dibangkitkan Ketua Biro Penerangan AMK Wilayah Persekutuan, Arief Izuadin Ahmad Jefferi selepas PH gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai apabila tewas kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK), Sabtu lalu.

“Kegagalan PH mempertahankan kerusinya pada PRK Parlimen Tanjung Piai membuka mata banyak pihak yang senjata manipulasi fakta sedang dimanfaatkan pihak tertentu untuk berkuasa.

“Jadi, beberapa saranan dikenal pasti untuk membantu kerajaan dalam mendepani fenomena ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BN memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai kelmarin menerusi calonnya dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti besar, 15,086 undi selepas memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya, calon PH dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Karmaine Sardini mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.

Arief Izuadin berkata, antara saranan itu ialah kerajaan perlu menaik taraf teknologi pengesahan fakta di media sosial dan memberi maklum balas segera untuk melawan kegiatan manipulasi fakta.

“Sebagai contoh, Kerajaan Jerman melalui kerjasama dengan pihak Facebook akan memperkenalkan sistem menapis berita untuk melawan berita palsu. Republik Czech pula menubuhkan jawatankuasa untuk mengawal berita palsu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengangkat komuniti saintis dan akademik ke media arus perdana dengan membabitkan mereka secara langsung dalam proses pembuatan dasar kerajaan.

“Di United Kingdom (UK), negara itu mempergiat usaha saintis terbabit proses pembuatan dasar melalui pembentangan hasil kajian mengenai maklum balas rakyat di Parlimen” katanya.

Susulan itu, katanya, kerajaan perlu juga menyediakan kandungan media yang menarik bagi tujuan penyampaian maklumat mengenai dasarnya kepada rakyat.

Berita Harian X