Isnin, 18 November 2019 | 11:07am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PH akan 'bedah siasat' cari punca kekalahan di Tanjung Piai - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pakatan Harapan (PH) akan membuat ‘bedah siasat’ yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, beliau menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai, walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan.

“Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih dari 2,000 undi. Namun keputusan rasmi majoriti kekalahan ialah sebanyak 15,086

undi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang bekerja keras sepanjang pilihanraya kecil itu.

PRK Parlimen Tanjung Piai hari ini menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng muncul pemenang kerusi parlimen itu dengan majoriti besar, 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.

Berita Harian X