Ahad, 17 November 2019 | 1:57pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berucap pada majlis perasmian Simposium Antarabangsa Analisis Tingkah Laku anjuran Akademi Analisis Tingkah Laku Malaysia dan Jabatan Psikologi, Universiti Sunway, Subang Jaya, hari ini. - Foto Aziah Azmee
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berucap pada majlis perasmian Simposium Antarabangsa Analisis Tingkah Laku anjuran Akademi Analisis Tingkah Laku Malaysia dan Jabatan Psikologi, Universiti Sunway, Subang Jaya, hari ini. - Foto Aziah Azmee

Kemudahan cetak kad OKU di setiap negeri akan ditambah

SUBANG JAYA: Kemudahan pencetakan kad orang kurang upaya (OKU) di setiap negeri akan ditambah bagi mengurangkan tempoh permohonan.

Penambahan kemudahan itu nanti diharap mampu memendekkan proses permohonan terbabit kepada 30 hari.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, menegaskan langkah itu dilihat perlu dalam usaha menggalakkan pendaftaran OKU.

“Berdasarkan aduan yang kita terima, kelewatan untuk mendapatkan kad OKU sekarang disebabkan hanya ada sebuah mesin pencetak di setiap negeri, sedangkan ramai golongan itu yang amat memerlukan kad berkenaan.

“Justeru untuk menyelesaikan masalah, kita mengarahkan setiap negeri perlu menambah sekurang-kurang memiliki dua mesin pencetak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Analisis Tingkah Laku anjuran Akademi Analisis Tingkah Laku Malaysia dan Jabatan Psikologi, Universiti Sunway, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yeoh berkata, dianggarkan lebih 500,000 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara, ketika ini.

“Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pendaftaran OKU di setiap negara perlu sekurang-kurang 15 peratus daripada keseluruhan populasi penduduknya.

“Jika dilihat di negara ini, masih ada stigma, terutama bagi keluarga memiliki anak autisme dan enggan mendaftarkan mereka sebagai OKU, sedangkan kita mahu golongan itu mendapat manfaat daripada pendaftaran berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Pembangunan OKU akan meningkatkan usaha menerusi ‘Jom Daftar’ dengan mengutamakan galakan kepada mereka yang berada di luar bandar.

Sementara itu, mengenai cadangan mewujudkan undang-undang berkaitan jenayah intip dan hendap pula, Yeoh mengaku ia diperlukan dalam keadaan sekarang.

Beliau berkata, walaupun pelbagai perundangan diwujudkan, masih belum cukup untuk membantu melindungi hak dan keperluan golongan wanita.

“Bawah kementerian ini, kita sedang memberi tumpuan untuk menggubal akta gangguan seksual bagi menangani masalah berkaitan,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan undang-undang berkaitan jenayah intip dan hendap dikenali sebagai anti-stalking law, dijangka mampu melindungi mangsa, terutama wanita daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.

Kesalahan dijangka termaktub dalam undang-undang terbabit, bukan setakat gangguan secara sentuhan semata-mata tetapi juga merangkumi perbuatan berterusan menggunakan pelbagai instrumen atau medium, termasuk telekomunikasi sehingga mengganggu emosi mangsa.

Berita Harian X