Sabtu, 16 November 2019 | 1:10pm
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) ketika ditemui pemberita selepas memantau proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, hari ini. - Foto BERNAMA
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) ketika ditemui pemberita selepas memantau proses mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, hari ini. - Foto BERNAMA

PRK Parlimen Tanjung Piai: SPRM terima 4 laporan sepanjang tempoh kempen

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima empat laporan membabitkan dakwaan pelbagai salah laku sepanjang tempoh 14 hari berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Dua daripadanya adalah laporan mengenai pemberian kad prabayar secara percuma ketika ceramah umum Pakatan Harapan (PH) di Tengayun, Pontian, selain satu laporan berhubung dakwaan kesalahan pilihan raya mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana memberikan sogokan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika memperincikan perkara itu berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa satu laporan SPRM dibuat berhubung kenyataan yang didakwa bersifat ‘gula-gula’ pilihan raya dan berupaya mempengaruhi keputusan pengundi.

Kes itu merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, pada 6 November lalu yang mengumumkan seramai 1,513 nelayan di kawasan Johor Selatan, termasuk Tanjung Piai, akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, bagaimanapun dilapor menjelaskan pengumuman itu sekadar memenuhi janji Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik sebagai penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini kepada penduduk di kawasannya.

Dalam perkembangan sama, laporan harian SPR yang dimuat naik dalam laman web rasminya menyaksikan 36 laporan polis dibuat, setakat semalam, meliputi pelbagai isu sepanjang tempoh berkempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

Jumlah laporan polis difailkan 20 pengadu itu adalah berkaitan penularan klip video kenyataan Salahuddin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio, Kukup Laut, Pontian, yang didakwa berbaur perkauman dan menyalahi undang-undang pilihan raya.

Sementara itu, Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) pula merekodkan 101 kesalahan membabitkan 41 kes didapati dilakukan Barisan Nasional (BN), PH (31), GERAKAN (12) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) (tiga).

Berita Harian X