Sabtu, 16 November 2019 | 12:34pm
PELAJAR UMT terus cipta kecemerlangan dan diiktiraf pelbagai pihak. - Foto ihsan UMT
PELAJAR UMT terus cipta kecemerlangan dan diiktiraf pelbagai pihak. - Foto ihsan UMT

UMT sohorkan ilmu kelautan

KUALA TERENGGANU: Kewibawaan Universiti Malaysia Terenganu (UMT) dalam bidang tujahan ilmu kelautan dan sumber akuatik semakin jelas terserlah serta tidak dapat dinafikan lagi.

Maka, wajarlah menjadi harapan dan iltizam bagi warga UMT untuk terus melonjakkan kecemerlangan universiti itu dalam bidang berkenaan, selaras matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Amanat 2019 Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Kecemerlangan graduan UMT membuktikan universiti itu amat fokus aspek akademik, khususnya Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), selain penyelidikan dan pemindahan ilmu.

Hal itu dibuktikan dengan kemenangan dua ahli Akademik UMT dalam merangkul Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-13, bagi kategori Anugerah Pengajaran iaitu Dr Shahreza Md Sherif dan Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang KPM yang dianugerahkan kepada Dr Izan Jaafar.

UMT turut diiktiraf pada majlis Anugerah Malaysia’s Research Star Award (MRSA) melalui Pengiktirafan Jurnal Crème 2019 menerusi Prof Dr Mhd Ikhwanuddin Abdullah yang menerima sijil pengiktirafan Jurnal Crème bagi kategori Jurnal Berprestasi Tinggi.

Ia jelas membuktikan UMT mampu mendepani landskap pembaharuan teknologi terkini dalam pendidikan pengajian tinggi negara ke tahap global. Dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, sistem pengajaran dan pembelajaran juga sudah didigitalkan melalui pelbagai platform.

Antara kejayaan yang dicapai UMT ialah memenangi anugerah THE BEST Massive Open Online Course (MOOC) AWARD pada International University Carnival on E-Learning (IUCEL 2019) melalui UMTMOOC: OPEN WATER SCUBA DIVER.

Peranan wanita

Sumbangan dan keterlibatan wanita dalam pelbagai bidang di UMT sentiasa membanggakan. Kejayaan demi kejayaan dicapai penyelidik wanita antaranya Prof Madya Dr Wan Iryani Wan Ismail yang menerima anugerah L’oreal-UNESCO Women in Science National Fellowship.

Sudah tentu hasil penyelidikan beliau iaitu kebaikan khasiat madu untuk mengawal obesiti sangat relevan dengan keperluan masyarakat kita pada masa kini.

UMT turut berbangga dengan kejayaan Dr Roswati Md Amin yang mengetuai pelayaran Saintifik bersempena LIMA 2019.

Kejayaan kedua-dua penyelidik wanita ini menjadi inspirasi kepada penyelidik dan pelajar UMT untuk lebih cemerlang.

Lonjak penyelidikan

Sehingga Oktober 2019, 118 geran penyelidikan diterima daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara yang mencatatkan jumlah keseluruhan RM10.3 juta.

Ini membuktikan penyelidik UMT diiktiraf untuk menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang tujahan universiti.

Kejayaan ini memberi impak kepada industri dan masyarakat, baik dari aspek pulangan penjanaan pendapatan, mahupun peningkatan nilai kualiti hidup melalui pemerkasaan ekonomi biru, seiring Malaysia yang tergolong negara maritim.

MOGESH mewakili Malaysia pada AYEF 2019.
MOGESH mewakili Malaysia pada AYEF 2019.

Sementara itu, UMT sering menggalakkan pelajar menyertai program akademik, kurikulum atau kepemimpinan pada peringkat kebangsaan dan global.

Atas galakan dan sokongan padu ini, pelajar daripada Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, S Mogesh berjaya mewakili Malaysia pada ASEAN Plus Three Youth Environment Forum (AYEF) 2019, anjuran Department of Environmental Quality Promotion of Thailand (DEQP) pada September 2019.

Dua pelajar UMT turut terbabit sebagai peserta ASEAN, manakala tiga pelajar lagi menyertai kem sukarelawan peringkat ASEAN dan antarabangsa Oktober lalu.

Program mobiliti akademik

UMT sudah memperlihatkan lonjakan program akademik ke peringkat global apabila program pemindahan kredit dilaksanakan melalui jaringan dengan beberapa universiti antarabangsa seperti Indonesia, Bangladesh, Taiwan, Thailand dan Perancis.

Pada tahun ini, lapan pelajar UMT terpilih mengikuti Program Latihan Industri Antarabangsa di Fakultas Teknologi Pertanian dan Fakultas Pertanian, Universitas Jember (UNEJ), Indonesia dan tiga pelajar mengikuti Latihan Industri di National Taiwan Ocean University (NTOU).

UMT juga amat berbangga apabila Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) menjadi satu-satunya institusi di Asia menawarkan program kerjasama Ijazah Sarjana Erasmus Mundus Masters Course in Tropical Biodiversity and Ecosystem (TROPIMUNDO) di bawah tajaan dana European Commission (EC).

INOS dilantik sebagai rakan strategik TROPIMUNDO melalui jalinan kolaborasi akademik antarabangsa membabitkan sembilan universiti dari 6 negara Eropah. INOS menerima 16 pelajar antarabangsa dari 10 negara.

Majlis Konvokesyen Ke-17

Majlis Konvokesyen UMT Ke-17 pada 16 hingga 18 November bakal menyaksikan 2,902 graduan diraikan pada majlis gilang-gemilang.

UMT berbangga apabila graduan cemerlang kelas pertama Ijazah Sarjana Muda meningkat 25 peratus, manakala 62 peratus peningkatan graduan Diploma.

Ia adalah peningkatan graduan cemerlang tertinggi yang dicatatkan sehingga kini. Lebih 30,000 graduan bergelar Alumni UMT dan mereka adalah Duta Khas UMT ke seluruh dunia.

Konvokesyen kali ini turut meraikan dua cendekiawan tersohor yang bakal dianugerahkan ijazah kehormat iaitu Tun Abdul Daim Zainudin, penerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi dan penerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Penganugerahan ini sejajar sumbangan mereka kepada UMT, Malaysia dan antarabangsa.

NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar pada majlis menandatangani memorandum
NAIB Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar pada majlis menandatangani memorandum

Berita Harian X