PONTIAN: Dua calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sini, antara yang terawal membuang undi hari ini.
Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, tiba dan memasuki Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kerang, Kukup kira-kira jam 7.45 pagi.
Karmaine menjadi pengundi pertama yang membuang undi dan selesai melaksanakan tanggungjawab mengundi di Saluran Dua pada jam 8.04 pagi tadi.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, tiba di Pusat Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming, Pekan Nanas, kira-kira jam 7.45 pagi.
Jeck Seng yang membuang undi di saluran empat selesai membuang undi pada jam 8.15 pagi ditemani isteri, Datin Seri Lim Joo Hon, 45, yang turut mengundi di pusat mengundi berkenaan.
Empat lagi calon iaitu dari GERAKAN Wendy Subramaniam, calon BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar, bukan pengundi Parlimen Tanjung Piai.
Pengundian bagi PRK Tanjung Piai membabitkan 52,471 pengundi berdaftar membabitkan 27 pusat mengundi dan 125 saluran dengan proses pengundian bermula jam 8 pagi ini dan dijangka berakhir 5.30 petang.