PONTIAN: Suasana di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming, Pekan Nanas, di sini, beberapa kali mengalami kekecohan kecil apabila kumpulan penyokong parti masih berdegil dengan meneruskan aktiviti kempen meraih undi.
Kira-kira 50 orang penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat beberapa kali bersorak terhadap satu sama lain selain cuba meminta pengundi yang hadir mengundi calon masing-masing, bermula kira-kira jam 9 pagi.
Mereka yang berkumpul kira-kira 50 meter dari pintu masuk pusat mengundi dikatakan tidak mengendahkan nasihat diberi petugas dan sukarelawan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak berbuat demikian.
Beberapa sukarelawan SPR yang enggan nama mereka disiarkan berkata, kumpulan penyokong calon atau parti tidak sepatutnya berbuat demikian kerana ia menjadi salah satu kesalahan pilihan raya.
“Petugas sudah meminta mereka beredar dan tidak berkempen di sini, namun tidak diendahkan. SPR sudah melaporkan perkara ini kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.