Sabtu, 16 November 2019 | 8:48am
CALON Pakatan Harapan, Karmaine Sardini mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang, Pontian. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pengundian PRK Tanjung Piai bermula

PONTIAN: Sebanyak 27 pusat mengundi dan 125 saluran dibuka untuk proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermula 8 pagi hingga 5.30 petang ini.

Seramai 52,471 pengundi berdaftar di Tanjung Piai akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat baharu susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Semua undi akan dikira di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, dilaporkan berkata, SPR mensasarkan keputusan rasmi PRK Tanjung Piai boleh diperoleh seawal jam 10 malam.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan PRK sebelum ini, keputusan dijangka diperoleh lebih awal.

CALON Pakatan Harapan, Karmaine Sardini ketika ditemui pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang, Pontian. - Foto Mohd Azren Jamaludin

CALON BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di SJKC Yu Ming, Pekan Nanas, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

“Keputusan tidak rasmi boleh diperoleh secara ‘live’ sejurus setiap saluran selesai dikira,” katanya.

Azhar Azizan juga optimis peratusan keluar mengundi sekurang-kurangnya 70 peratus seperti PRK sebelum ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) dari BERSATU, Karmaine Sardini; calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan calon (GERAKAN), Wendy Subramaniam.

Turut bertanding Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Karmaine mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK)Telok Kerang dan Jeck Seng di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Ming 1 dan2, Pekan Nanas, manakala empat lagi calon bukan pengundi Parlimen Tanjung Piai.

Pada 12 November lalu, sebanyak 91 peratus daripada 280 pegawai dan anggotapolis sudah membuang undi awal bagi PRK itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai adalah pilihan raya kecil kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14, Mei tahun lalu.

Berita Harian X