Jumaat, 15 November 2019 | 2:55pm
FUZIAH Salleh berucap sempena sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H/2019M di Masjid Wilayah Persekutuan. - Foto NSTP/Supian Ahmad

Kanak-kanak mati di tahfiz kes pengabaian

KUALA LUMPUR: Kes kematian seorang kanak-kanak dipercayai akibat didera di sebuah sekolah tahfiz tidak berdaftar di Kuantan baru-baru ini, diklasifikasikan sebagai pengabaian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) turut mengambil tindakan segera dengan mengarahkan sekolah tahfiz berkenaan ditutup.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat siasatan terhadap perkara terbabit dan mengklasifikasikannya sebagai pengabaian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah di sini, hari ini.

Dalam kejadian Khamis minggu lalu, Mohammad Aimin Nurul Amin,7, yang juga murid Maahad Tahfiz Nahdah Syubban Addiniyah, Kuantan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lanchang pada jam 1.30 tengah hari, selepas dibawa oleh warden wanita yang menemui mangsa di asrama berkenaan.

Bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah mengesahkan kematian Mohammad Aimin disebabkan trauma akibat impak dengan permukaan objek tumpul pada dada dan abdomen mangsa.

Mangsa difahamkan dihantar ke pusat tahfiz itu pertengahan bulan lalu, bersama-sama abang tirinya berusia 13 tahun.

Susulan itu, dua remaja berusia 13 tahun didakwa atas tuduhan membunuh mangsa di pusat tahfiz berkenaan, hari ini.

Fuziah berkata, peraturan dan undang-undang membabitkan sekolah agama di negara ini perlu diselaraskan untuk mengelak kejadian tidak diingini.

"Penyelarasan ini penting kerana ada negeri yang peraturan berkaitan sekolah tahfiz longgar," katanya.

Beliau mengakui kerajaan berdepan kekangan memastikan semua institusi tahfiz berdaftar memandangkan ia muncul bagai cendawan selepas hujan.

"Jangan jadikan pusat tahfiz tempat melepaskan tanggungjawab khususnya dalam menyelesaikan masalah terutama membabitkan anak nakal.

“Pengelola sekolah tahfiz juga perlu memahami keperluan undang-undang berkaitan penubuhan pusat itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata, Majlis Tahfiz Negara yang ditubuhkan bagi menambah baik institusi tahfiz dijangka dilancarkan Mac tahun hadapan.

Katanya, perkara itu sudah dibawa ke peringkat pengurusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI ).

Terdahulu berucap pada majlis berkenaan, Fuziah berkata, kerajaan sentiasa berusaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini untuk hidup harmoni.

“Ia selaras dengan konteks Malaysia sebagai model negara rahmah yang berintegriti, ditadbir urus dengan baik, mengamalkan kedaulatan prinsip hukum, melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak, saling hormat-menghormati dan memastikan pembangunan yang lestari,” katanya.

Berita Harian X