Jumaat, 15 November 2019 | 12:17am
Dr Mahathir Mohamed berucap pada Majlis Sarapan Bersama NGO Parlimen Tanjung Piai, di Pekan Nenas, di Pontian. Turut kelihatan, calon PH, Karmaine Sardini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Permainan politik perkauman didalangi mereka yang terdesak - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata permainan politik perkauman didalangi oleh mereka yang terdesak kerana berhadapan tindakan undang-undang akibat ketamakan dan keangkuhan ketika berkuasa.

Dr Mahathir menasihati rakyat supaya tidak memberikan mereka peluang untuk terus mengadu-domba rakyat.

“Cara yang paling mudah ialah tidak mengundi wakil mereka dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Mereka tidak peduli jika perbuatan mereka itu boleh mengakibatkan tercetusnya pertembungan di antara kaum kerana bagi mereka, jika berlaku kekacauan, kemungkaran yang telah mereka lakukan akan dipinggir,” kata Dr Mahathir menerusi catatan di Twitter.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata, beliau percaya calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Tanjung Piai, adalah calon yang amat sesuai untuk meneruskan usaha-usaha Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

“Selain memahami kehendak serta hati budi penduduk setempat, Karmaine pastinya akan mampu meneruskan rancangan pembangunan serta mengagih peruntukan-peruntukan untuk Parlimen ini yang telah berjaya didapatkan dahulu oleh Allahyarham Dr Md Farid,” katanya.

PRK ini menyaksikan pertandingan enam penjuru yang melibatkan Karmaine, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian PRK itu ditetapkan Sabtu ini. – BERNAMA

Berita Harian X